PETALING JAYA: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dipertimbangkan dengan sebaiknya oleh kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang membuka laluan satu PRN diadakan menimbulkan kegusaran orang ramai terhadap kemungkinan mencetuskan satu lagi gelombang jangkitan Covid-19 sepertimana yang berlaku di PRN Sabah.
Katanya, terdapat seperti konsensus dalam kalangan pakar dan pengamal perubatan negara bahawa PRN Melaka tersebut harus ditunda sehingga wabak benar-benar reda.
“Walaupun kadar vaksinasi penuh untuk golongan dewasa hampir 90 peratus, kadar jangkitan masih boleh menaik dengan mendadak.
“Keputusan samada PRN ini harus diadakan atau ditangguhkan haruslah dipertimbangkan dengan sebaiknya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, empat ADUN Kerajaan Negeri Melaka mengesahkan bahawa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Penarikan itu menyaksikan pembubaran DUN negeri itu oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam berkuat kuasa 5 Oktober lalu.
Bagaimanapun, kerajaan dijangka membuat keputusan sebaik sahaja Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menerima pandangan dan nasihat daripada pelbagai pihak termasuk Peguam Negara, Kementerian Kesihatan dan SPR.
Menurut beliau, meskipun semua pihak yakin dengan sains dan kehidupan berdemokrasi mesti dipulihkan, kebimbangan kumpulan perubatan mempunyai asas yang kukuh serta wajar diberikan perhatian terpenting.
“Rakyat mungkin memerlukan masa untuk beralih kepada fasa endemik dan hidup dengan kehadiran virus ini.
“Namun terpulanglah kepada kerajaan untuk memutuskan yang terbaik untuk rakyat Melaka dan Malaysia amnya. Insya-Allah yang terbaik itu adalah keutamaan kepada nyawa, kesihatan dan kemaslahatan umum.
“Yang pasti penyelesaian krisis politik Melaka akan kembali ditentukan oleh rakyat juga akhirnya tetapi pada masa dan ketika yang sesuai,” katanya. – UTUSAN ONLINE









