KOTA BHARU: Polis Kelantan berjaya menumpaskan Geng Saga yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah cermin kereta dan mencuri selepas menahan tiga lelaki tempatan dalam serbuan di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Long Yunus di sini awal pagi 30 Mei lalu.
Ketiga-tiga suspek berusia 49 hingga 56 tahun itu ditahan pada pukul 2 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, terdahulu suspek telah bertindak memecahkan cermin kereta dan mencuri barangan dari sebuah kereta kira-kira pukul 12.45 malam di tepi jalan berhampiran sebuah kedai makan di Tunjong dekat sini.
Katanya, kejadian tersebut menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM250.
“Bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan, sepasukan polis telah melancarkan serbuan di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Long Yunus pada pukul 2 pagi.
“Hasil serbuan yang dijalankan, pihak polis berjaya menahan tiga lelaki masing-masing berusia antara 49 hingga 56 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, tangkapan kesemua suspek itu menyaksikan polis berjaya menyelesaikan 10 kes pecah cermin kereta di sekitar bandar ini dan Kota Bharu melibatkan kerugian berjumlah RM23,000.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
“Selain positif dadah semasa ditahan, ketiga-tiga suspek mempunyai 12 rekod jenayah dan 32 rekod berkait dadah,” ujarnya.-UTUSAN










