Privasi: Media penting apabila ada promosi? - Utusan Malaysia

Privasi: Media penting apabila ada promosi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh WARTAWAN PANCAINDERA

TERLALU sering terjadi, apabila pengamal media di negara ini diperlakukan seperti bola.

Mengapa? Salahkah perumpamaan begitu?

Kalau tidak percaya, tengok sahaja peribadi seseorang artis atau selebriti itu dalam beberapa keadaan lazim seperti ketika dia dilanda kontroversi, dikhabarkan bakal bertunang, berkahwin hatta terlibat dengan desas-desus perceraian.

Masing-masing ‘lari’ angkat kaki bagaikan lupa jasa baik pengamal media yang sebelum itu dianggap bak kakak, adik atau abang seindustri dalam tatasusila penuh akrab beralas nama profesionalisme.

Semua ‘keakraban’ itu dengan mudahnya terlupus sekiranya sudah mula terbit rasa bahawa pihak media itu menyusahkan, membosankan atau sekadar mahu menjadi penyibuk dalam kehidupan seharian mereka.

Namun, ‘jangan pula lupa ajak pihak media ya, jika mahu bantuan mempromosikan produk atau karya-karya terbaharu’ kerana hanya ketika itulah baru kelompok wartawan dan jurugambar ini dinilai sebagai satu keperluan.

Sejauh mana kebenaran situasi kononnya atas dasar kepentingan ‘privasi’ seperti ini? Kita tanya golongan artis itu sendiri.

Terpulanglah, tapi kena pandai – Sissy Iman

BAB privasi memang sensitif. Tapi kalau bergelar artis, privasi itu ibarat sudah tiada.

Bahkan warganet semakin bijak menghidu andai artis berkenaan cuba menyembunyikan sesuatu.

Menurut penyanyi Sissy Iman, 26, dia berpendapat masing-masing mempunyai pilihan sendiri sama ada untuk merahsiakan sesuatu perkara atau sebaliknya.

“Bagi saya terpulanglah kepada individu atau artis dan orang awam. Masing-masing ada hak hendak beritahu atau tidak, sama ada kecil mahupun tidak kecil.

“Tetapi kalau sudah menjadi orang yang dikenali dan mengambil keputusan untuk menyorok dan sebagainya, kena pandailah kawal situasi.

“Iyalah… kalau di kemudian hari nanti mungkin ada yang bertanya dan nampak pasangan di luar,” katanya.

Jelasnya lagi, pilihan seseorang artis sama ada mahu berkongsi atau tidak, kedua-duanya tidak salah.

Mengulas lanjut andai satu hari dirinya sendiri melangkah ke satu fasa serius, Sissy bersikap terbuka dan akan menjawab soalan media jika dihubungi kelak.

“Insya-Allah untuk pihak saya tidak ada perkara pun yang nak disorokkon jika benda berkenaan melibatkan saya sahaja.

“Tapi kalau perkara tersebut melibatkan pihak lain, dan mungkin kalau ada alasan kukuh belum nak beritahu, kita tengok macam mana. Kalau media hubungi, boleh saja saya jawab,” jelasnya.

Ada yang bimbang kongsi sebab takut dikecam – Haiza

Berkongsi pendapat, penyampai radio Buletin FM dan penyanyi, Haiza, menganggap isu privasi ini tidak cuma berlaku pada selebriti atau artis semata-mata.

Katanya, golongan yang bukan selebriti juga adakalanya mengamalkan privasi lebih dahsyat dan ia pernah terjadi menerusi pengalamannya sendiri sebelum ini.

“Mereka memilih untuk merahsiakan sebahagian kehidupan peribadi. Barangkali ada banyak sebab.Kalau isu tunang,nikah, kahwin ini, kita risau jika dicanang beria sangat takut tak jadi.

“Cuma sebagai artis atau selebriti,kita ini sentiasa diperhatikan.Kadang-kala bukan kita yang nak cerita,tapi tetap bagi kerjasama dengan rakan-rakan media kerana kita saling perlu antara satu sama lain.

“Mereka perlukan cerita dan kita perlukan publisiti.Tapi kecaman yang melampau daripada warganet itulah yang buat ramai selebriti tak nak kongsikan langsung. Ada juga yang memilih untuk rahsia sebab ada perjanjian dengan pihak klien. Mungkin ada produk yang nak keluar dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, Haiza juga tidak menolak bahawa pada kebanyakan masa, pihak pengurusan juga memainkan peranan terutama berkenaan sesuatu perkara yang dinilai sebagai eksklusif.

“Ada juga sebab-sebab yang kita tak tahu namun hanya mereka sahaja yang tahu. Bila keluar selalu takut tiada nilai. Cuma isu putar belit ini contoh kalau kahwin,cakap tidak, itu saya tak setuju sebab kita perlu beritahu untuk elakkan fitnah.

“Apabila keluar berdua,mata mulut jari orang semua bergerak nak fitnah.Busuk selebriti yang mereka nampak. Busuk sendiri tak perasan.

“Makanya kita sebagai selebriti banyak benda kena jaga. Kalau dah jaga sebaik mungkin keperibadian diri, tapi kena kecam juga itu di luar kemampuan kita,” katanya.

Bukan semua boleh kongsi – Shiha Zikir

Bagi penyanyi, Shiha Zikir, bukan semua kisah peribadi seseorang artis itu boleh dikongsi kepada umum meskipun golongan tersebut dikategorikan sebagai public figure.

Kata Shiha, selebriti juga manusia biasa yang memerlukan ruang privasi dalam kehidupan mereka.

“Tanggapan asal selebriti, semua kena kongsi itu perlu dikikis. Bagi saya, sebagai penghibur, saya perlu kongsi kegiatan dan kerja saya dengan peminat atau masyarakat umum.

“Tetapi, kalau cerita peribadi, itu sudah jadi topik lain. Yang ini kena teliti, bukan semua boleh kongsi,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Irama ini berkata setiap orang perlu memahami dan belajar untuk menghormati keputusan mana-mana selebriti yang enggan cerita-cerita peribadi mereka dijaja dan ditularkan dalam kalangan masyarakat.

Kata Shiha, mentaliti masyarakat tentang selebriti berkaitan perkara ini perlu diubah untuk kebaikan bersama.

“Bagi saya, kita kena hormat jika seseorang itu memilih untuk tidak berkongsi tentang kehidupan peribadi mereka. Setiap orang ada pendirian mereka terhadap isu ini.

“Masyarakat kena ubah pandangan mereka terhadap selebriti. Tak semestinya dia seorang ternama, semua perkara kita kena tahu pasal dia. Tak boleh begitu,” jelasnya.

Perlu faham makna privasi itu sendiri – Fizo Omar

Bagi pendapat pelakon popular, Fizo Omar, walaupun bergelar selebriti namun dia lebih mementingkan privasi dalam kehidupannya.

Menurut pelakon filem popular 7 Petala Cinta ini, dia lebih gemar para peminat mengetahui perkembangan karier dan perniagaannya berbanding berkongsi mengenai privasi buat pengetahuan umum.

“Sesiapa sahaja mempunyai privasi sendiri. Siapa pun anda, semua ada privasi. Betul, sebagai selebriti kadangkala perlu korbankan privasi. Tetapi sebenarnya pada saya itu silap.

“Saya lebih suka kalau peminat tahu tentang perkembangan karier dan perniagaan, itu lebih baik. Saya juga lebih suka selebriti dan pempengaruh berkongsi mengenai apa yang perlu dikongsikan.

Sudah nama pun privasi, selebriti pun tetap ada privasi mereka sendiri,” tuturnya.

Bintang yang baru menamatkan zaman dudanya itu juga berasa kurang bersetuju kepada segelintir pihak yang menggunakan privasi mereka sebagai kepentingan sendiri.

“Kita perlu memahami makna privasi itu sendiri. Ia adalah hak kita untuk melindungi diri. Jika kita tidak memberitahu perkara yang privasi, ia tidak menjadi satu kesalahan.

“Saya kurang setuju mana-mana pihak terutama usahawan dan selebriti yang menggunakan privasi sebagai elemen pemasaran untuk dikenali serta mendapat perhatian. Trend mendedahkan privasi semata-mata meraih publisiti,” katanya lagi ketika ditemu bual.

Mengulas lanjut, Fizo akui sikap ingin tahu terhadap ‘cerita’ seseorang adalah sifat manusia, namun selebriti itu sendiri perlu berjaga-jaga untuk berkongsi berkaitan privasi.

“Tidak salah netizen ingin mengetahui, ada yang minat, ada yang mencari kesalahan. Itu sudah memang lumrah manusia.

“Namun sikap selebriti itu sendiri jika dia rasa perkara itu privasi, simpan elok-elok. Jangan mendedahkan privasi hanya untuk kepentingan lain,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya