Jangan biar MyKiosk terlalu lama, manfaatkan segera untuk peniaga kecil - Utusan Malaysia

Jangan biar MyKiosk terlalu lama, manfaatkan segera untuk peniaga kecil

AMINUDDIN Harun ketika melawat unit MyKiosk pada majlis pelancaran MyKiosk di Jalan Dato' Syeikh Mohd. Murtadza di Sikamat, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) memanfaatkan segera 187 unit MyKiosk yang telah diluluskan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun lalu untuk membantu peniaga kecil.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kewujudan myKiosk itu sesuatu yang baik dan memperlihatkan keseragaman selain nampak lebih teratur dan bersih.

“Bagaimanapun, selepas ini PBT diingatkan supaya jangan membiarkan MyKiosk ini terlalu lama tanpa diisi atau digunakan oleh peniaga.

“Bagi terus jangan simpan, jangan apabila sudah buruk barulah diberi kepada peniaga. Kalau sudah tahu siapa berniaga di situ bagilah kalau ada kosong baharu kita tengok siapa yang hendak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MyKiosk di Jalan Dato’ Syeikh Mohd. Murtadza di Sikamat di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Datuk Masri Razali.

Keseragaman MyKiosk dengan saiz ukuran 10×10 kaki dilengkapi dengan bekalan elektrik yang dijana dari solar dianggarkan berharga RM15,000 seunit.

Jelas Aminuddin, pemantauan berterusan perlu dibuat oleh MBS dan semua PBT di Negeri Sembilan di unit MyKiosk sedia ada supaya peniaga mematuhi semua syarat-syarat ditetapkan.

“Semua syarat telah dinyatakan termasuk tidak boleh membiarkan perniagaan tutup tujuh hari berturut-turut tanpa makluman kepada PBT.

“Kalau sampai tiga bulan tidak berniaga, PBT perlu hubungi dapatkan maklumat lanjut. Kemudahan ini bukannya murah, ini kerajaan Persekutuan yang bagi dan ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya. 

AMINUDDIN Harun tidak ketinggalan membeli kuih dari peniaga pada majlis pelancaran MyKiosk di Jalan Dato’ Syeikh Mohd. Murtadza di Sikamat, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Aminuddin turut berharap pihak KPKT dapat menambah baik kemudahan MyKiosk pada masa akan datang terutama berkaitan kapasiti tenaga solar yang disediakan.

“Peniaga boleh mengambil inisiatif menggunakan generator sekiranya mereka mahu memasang kipas dan sebagainya. 

“Kalau pasang elektrik nanti kosnya lagi tinggi dan dikhuatiri akan timbul isu lain pula. Lagi pun ini gerai dan bukannya restoran,” katanya. 

Tambah beliau, bagi tahun 2024 sebanyak 144 unit MyKiosk di bawah peruntukan KPKT telah diluluskan di negeri ini dengan penempatan tertinggi di bawah pentadbiran MBS.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×