KUANTAN: “Masa dapat panggilan telefon bagi tahu anak saya meninggal ditembak penjenayah… pada mulanya saya ingat panggilan daripada ‘scammer’. Berulang kali saya cakap betul ke dari balai polis ni?”
Demikian ujar Ahmad Said Md. Piah, 65, bapa kepada Konstabel Muhammad Shafiq, 24, merupakan anggota polis yang terbunuh dalam serangan pencerobohan seorang lelaki di Balai Polis Ulu Tiram, Johor kira-kira pukul 2.54 awal pagi semalam.
Ahmad Said berkata, sememangnya sukar untuk dipercayai kebenaran panggilan tersebut kerana dianggap berita kematian bukan suatu yang boleh dipermainkan.
Menurutnya, walaupun terkejut dengan panggilan dibuat pegawai dari Balai Polis Ulu Tiram itu, dia menerima sahaja berita tersebut dan bertindak membuat pengesahan terlebih dahulu.
“Saya mendapat khabar tersebut kira-kira pukul 8 pagi dan ketika itu baharu pulang dari kebun… Kalau telefon daripada balai polis ni memang banyak yang menyamar juga jadi macam tak boleh nak percaya.
“Dalam masa yang sama saya turut menegaskan kepada pegawai yang membuat panggilan berkenaan bahawa anak saya ketika ini sedang elok sahaja kerja menjalankan tugasnya. Antara percaya atau tidak, kemudiannya saya telefon anak sulong yang juga polis di Kuala Lumpur dan dia sahkan benda yang sama… dia juga sudah tahu cuma tidak memberitahu saya lagi.
“Kemudiannya, baharulah saya mula terima berita itu. Luluh hati saya ketika menerimanya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Mahkota Jaya, dekat Jaya Gading di sini hari ini.
Dalam pertemuan tersebut, ibu kepada anggota malang berkenaan iaitu Aini Mohd. Shariff, 57, masih terkejut dan enggan ditemui pemberita.
Muhammad Shafiq merupakan anak ketujuh daripada lapan adik-beradik dan mula berkhidmat di Balai Polis Ulu Tiram pada Jun tahun lalu selepas tamat menjalani latihan rekrut di Dungun, Terengganu.
Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata, Muhammad Shafiq merupakan anak yang rapat dengan keluarga walaupun tidak berada di kampung.
Katanya, tiasa perubahan ditunjukkan Muhammad Shafiq sejak kebelakangan ini memandangkan dia sememangnya sering menghubungi keluarga lebih lagi ibunya.
“Sejak berpindah ke Ulu Tiram, Muhammad Shafiq hanya pulang sekali sahaja pada Februari lalu dan pada hari raya lalu juga diberitahu tidak mendapat cuti namun merancang pulang ke kampung pada Jun atau Ogos depan… namun tidak kesampaian.
“Kali terakhir menghubungi kami pula pada penghujung Syawal lalu bertanya nak makan apa kerana dia mahu belanja sempena hari lahir ibunya dan tak berapa lama ada seorang rakannya di sini menghantar kirimannya.
“Walaupun sedih dengan kehilangan ini, namun saya reda dan sudah sampai masa dia… sampai umurnya Allah SWT akan jemput. Saya terima ketentuan ini,” katanya yang merupakan seorang bekas tentera.
Jenazah Muhammad Shafiz dijangka akan disembahyangkan di surau Taman Sri Mahkota Jaya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Gambang di sini, pada hari esok. – UTUSAN










