Polis Pulau Pinang tambah anggota bagi pastikan SOP dipatuhi  - Utusan Malaysia

Polis Pulau Pinang tambah anggota bagi pastikan SOP dipatuhi 

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain ketika meninjau pematuhan SOP bagi mencegah penularan Covid-19 di Shangri-La's Rasa Sayang Resort & Spa, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang meningkatkan pemantauan dan menambah anggota bagi memastikan pengunjung yang memasuki lokasi pelancongan serta tempat tumpuan ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penularan Covid-19 yang ditetapkan. 

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ketika ini sebanyak 86 pasukan pemantau diketuai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penguat kuasa lain menjalankan tugas pemantauan SOP di lokasi-lokasi yang dikenal pasti menjadi tempat tumpuan ramai setiap hari. 

“Kita menjangkakan berlaku peningkatan jumlah pengunjung  selepas lebih banyak tempat dibuka, jadi kita tingkatkan anggota untuk memantau SOP. 

“Pasukan ini akan kunjungi semua premis yang mana kita sudah buat secara tidak langsung bersama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang sebelum ini. 

“Kita akan bahagikan tempat-tempat pemantauan untuk pastikan SOP ditetapkan dipatuhi oleh orang ramai,” katanya selepas meninjau SOP di Shangri-La’s Rasa Sayang Resort & Spa, di sini hari ini. 

Menurut Mohd. Shuhaily, pihaknya tidak akan menempatkan anggota polis di kawasan hotel atau lokasi pelancongan, namun anggota polis menjalankan pemantauan secara berkala di lokasi berkenaan. 

“Setakat ini, kita dapati tidak ada kluster baharu dicatatkan daripada lokasi tumpuan ramai di negeri ini,” katanya. 

Dalam pada itu, mengulas sama ada berlaku pengurangan sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini,  Mohd. Shuhaily berkata, ketika ini terdapat 36 SJR di seluruh negeri yang menjalankan tugas-tugas memantau pergerakan keluar masuk kenderaan. 

”Jika ada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kurangkan, kita akan laksanakannya dan setakat ini kami masih menunggu keputusan berhubung perkara tersebut,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 62 anggota polis dijangkiti Covid-19 dalam tempoh dua minggu lalu dan dalam tempoh yang sama, kira-kira 108 anggota pula menjalani kuarantin. 

“Punca jangkitan dalam kalangan anggota adalah disebabkan pelbagai faktor, ada yang mendapatnya daripada ahli keluarga dan lain-lain faktor. 

“Semalam adalah pertama kali dalam sebulan tidak ada sebarang kes positif Covid-19 dalam kalangan anggota kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN