KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa melihat kesan tetakan dari telinga hingga ke mulut rakan setugasnya yang menjadi serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor, dua tahun lalu.
Saksi pertama pendakwaan, Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa turut melihat seorang lagi rakan setugasnya ditembak di bahagian kepala.
Katanya, dia ketika itu sedang melakukan rondaan bersama Koperal Mohd Hasif Roslan sebelum diarahkan untuk kembali ke balai itu.
“Apabila sampai di kawasan pekarangan balai, keadaan agak malap dan sunyi. Sebaik turun dari kenderaan, seorang anggota lain, Lans Koperal Mohamad Aznel Mat Salleh menjerit memaklumkan seorang anggota polis telah ditetak.
“Kemudian saya mendapati Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar mengalami tetakan pada wajah dari telinga hingga ke mulut.
“Mangsa berada dalam keadaan terbaring berlumuran darah di antara berek dan bangunan balai polis itu,” katanya.
Semasa serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, dua konstabel polis iaitu Ahmad Azza, 22, dan Muhamad Syafiq, 24, terkorban manakala Mohd Hasif, 38, cedera ditembak dan mengalami kecederaan pada bahagian bahu kiri dan punggung selepas diserang suspek yang akhirnya ditembak mati dalam insiden terbabit.
Saksi kemudian memaklumkan dia bersama Mohd Hasif kemudian bergerak ke hadapan berhampiran mesin layan diri untuk berlindung sebelum seorang lelaki keluar dari arah hadapan sebelah kanan berek dan melepaskan tembakan.
“Saya bersama Mohd. Hasif, Mohamad Aznel dan Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said kemudian berlari ke tepi pejabat balai untuk berlindung, namun Mohd Hasif terkena tembakan pada bahagian bahu kiri dan punggung,” kata Azhar yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Beaufort, Sabah.
“Kami kemudian berkumpul semula di belakang pejabat balai. Mohamad Aznel keluar untuk mendapatkan bantuan manakala saya bersama Mohd. Hasif dan Muhammad Syafiq bergerak ke arah kenderaan perisai untuk mendapatkan perlindungan.
“Suspek sekali lagi melepaskan tembakan ke arah kami sebelum Mohd Hasif keluar dan berjalan ke arah hadapan dipercayai untuk menarik perhatian suspek.
“Apabila sampai berhampiran tiang bendera, suspek melepaskan tembakan dan mengenai kepala Muhammad Syafiq. Saya bertindak berguling ke arah kenderaan perisai dan melihat penyerang cuba merampas senjata milik Muhammad Syafiq,” katanya.
Ketika mengintai dari bawah tayar kenderaan perisai itu, katanya, suspek masih melepaskan tembakan sebelum dia melepaskan satu das tembakan ke arah lelaki itu.
“Saya cuba lepaskan tembakan kedua tetapi pistol pula tersangkut. Saya kemudian bergerak ke belakang tayar kanan dan melepaskan satu lagi das tembakan yang mengenai badan suspek sebelum saya mencari perlindungan.
“Suspek dilihat terbaring bersama Muhammad Syafiq di sebelah kiri kenderaan perisai,” katanya.-UTUSAN










