Polis Pahang berkas 39 individu miliki senjata buatan sendiri - Utusan Malaysia

Polis Pahang berkas 39 individu miliki senjata buatan sendiri

RAMLI Mohamed Yoosuf menyaksikan lintas hormat daripada Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, ketika melakukan lawatan kerja di markas polis marin dan turut berkesempatan menyaksikan demonstrasi menyelamat mangsa di air ketika banjir, di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang memberkas 39 individu dipercayai memiliki senapang buatan sendiri dan merampas 23 laras senapang berserta 114 peluru bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua yang terlibat membabitkan lelaki dewasa berusia anggaran 30-an hingga 50-an.

“Hasil siasatan polis yang melakukan beberapa risikan dalam penggunaan senjata api buatan sendiri secara haram ini kebanyakan kes berlaku melibatkan warga peneroka yang tinggal di kawasan ladang.

“Mereka dipercayai menggunakan senjata tersebut bukan sahaja untuk perlindungan diri malah melakukan pemburuan haiwan liar,” katanya dalam sidang akhbar pada program lawatan kerja ke Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga di sini hari ini.

Ramli berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat juga urusan jual beli senapang buatan sendiri berikutan permintaan yang tinggi.

“Segelintir daripada mereka yang pandai dalam bidang ini menjadikan senapang buatan sendiri itu sebagai sumber pendapatan sampingan. Tidak semua orang pandai membuatnya.

“Terbaharu kes di Maran membabitkan tangkapan seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 70-an yang juga seorang peneroka Felda dan kes terbabit masih dalam siasatan polis. Siasatan mendapati, selain membuat senapang sendiri, warga emas berkenaan juga turut membuat peluru sendiri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bertindak tegas terhadap mereka yang memiliki senjata buatan sendiri.

“Secara amnya individu yang mempunyai senjata ini berkemungkinan mempunyai niat menggunakan senapang patah ini untuk berburu namun manusia mempunyai pelbagai ragam yang adakalanya tidak boleh diramal.

“Mereka yang memiliki senjata buatan sendiri boleh didakwa mengikut Seksyen 8a Akta Senjata 1960 iaitu kesalahan memiliki atau membawa senjata tanpa permit sah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau keduanya.

“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melibatkan diri dalam aktiviti pemburuan haram menggunakan senjata api buatan sendiri kerana boleh didakwa mengikut Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya,” katanya.

Sementara itu Ramli berkata, pihaknya ingin menekankan kepada mana-mana pihak yang memiliki senjata tersebut agar menghubungi pihak polis untuk melupuskannya dan juga jangan cuba melupus sendiri.

Terdahulu, dalam kejadian Selasa lalu, seorang peneroka warga emas berusia 67 tahun maut dipercayai terkena tembakan senapang buatan sendiri dalam kejadian di Felda Bukit Sagu Empat.

Mangsa, Mohamad Omar yang mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan cedera di tangan sempat menghubungi isterinya sejurus selepas kejadian namun disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bukit Goh, di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya