Polis belum terima laporan kes wanita terjatuh MyVi - Utusan Malaysia

Polis belum terima laporan kes wanita terjatuh MyVi

TANGKAP LAYAR kejadian memaparkan seorang wanita keluar ketika kenderaan Perodua MyVi yang dinaikinya masih bergerak berhampiran persimpangan lampu isyarat di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis belum menerima sebarang laporan mengenai kes tular seorang wanita yang terjatuh daripada sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Unisel, Seksyen 7 di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.40 petang.

Menerusi klip video tular itu, kereta MyVi berkenaan memperlahankan kenderaan dan memasang lampu kecemasan setibanya di persimpangan lampu isyarat jalan tersebut.

“Seorang wanita kemudian cuba keluar dengan membuka pintu dan menyebabkan dia terjatuh ketika kereta itu masih bergerak perlahan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Jelas beliau, semakan mendapati tiada sebarang laporan polis dibuat mana-mana individu berhubung kejadian itu setakat ini.

“Justeru, wanita dan pemandu MyVi berkenaan diminta membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

“Saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan juga boleh menyalurkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Tambah Baharudin, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi tanpa fakta kes yang tepat mengenai video tular berkenaan.

Terdahulu, menerusi perkongsian video kejadian oleh Mat Jie di laman media sosialnya, dia nyaris melanggar wanita itu yang bertindak keluar daripada MyVi tersebut.

Susulan perkongsian itu, rata-rata warganet berasa bimbang dan bersimpati dengan nasib wanita berkenaan. Video berdurasi 48 saat itu meraih lebih 4,800 tontonan dan 1,400 reaksi di akaun Facebook miliknya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya