MELAKA: Perikatan Nasional (PN) negeri kesal dan kecewa dengan krisis politik yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, segala fokus ketika ini harus diberikan kepada usaha pemulihan negara dan negeri daripada pandemik Covid-19.
“Bagaimanapun, bagi menghormati proses demokrasi, perlembagaan negeri dan keputusan yang telah dibuat oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd Rustam.
“PN Melaka akan menyertai pilihan raya negeri (PRN) yang tarikhnya akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar PN Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.
Terdahulu, Yang Dipertua DUN, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN Melaka selepas dipersetujui Mohd. Ali.
Semalam, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) bersama tiga lagi ahli dewan undangan negeri (ADUN) iaitu Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, berkuat kuasa serta-merta.
Mengulas lanjut, Mohd. Rafiq berkata, proses pemulihan Covid-19 yang telah dijalankan oleh Kerajaan PN sebelum ini, sudah menampakkan hasil dan tanda-tanda positif.
Tegasnya, ia seharusnya tidak diganggu, hanya kerana tindakan sesetengah pimimpin dan parti politik yang meletakkan kepentingan peribadi dan kuasa melebihi nyawa, kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat Melaka.
“PN Melaka bersependapat dengan majoriti rakyat bahawa waktu ini bukanlah masa yang sesuai untuk mengadakan PRN.
“Namun, saya berharap rakyat negeri ini dapat memberi peluang dan sokongan kepada PN pada PRN kali ini bagi meneruskan usaha-usaha dan langkah-langkah pemulihan negeri daripada Covid-19,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE