fbpx

8 Disember 2021, 11:52 am

  TERKINI

PM lancar Yayasan Keluarga Malaysia

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (empat dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia di BCCK, Kuching, Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Buat pertama kalinya, kerajaan hari ini melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia bagi membantu anak-anak yatim piatu yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini setelah kerajaan mendapati seramai 5,173 anak yang menjadi yatim dan yatim piatu kerana wabak Covid-19 setakat ini.

“Bayangkan, betapa besarnya tanggungjawab yang digalas mereka. Yang hilang bukan sahaja ibu bapa, bahkan waktu-waktu bahagia, membesar sebagai kanak-kanak biasa.

“Maka, dengan rasa rendah diri, saya ingin menyeru seluruh Keluarga Malaysia, untuk berkongsi kasih sayang dengan anak-anak ini, agar mereka dapat menikmati kehidupan seperti rakan-rakan seusia mereka,” katanya di Pusat Konvensyen Borneo, di sini sempena pelancaran Keluarga Malaysia hari ini.

Oleh itu, Ismail Sabri menjelaskan, Yayasan Keluarga Malaysia akan bertindak sebagai institusi yang akan membantu anak-anak Keluarga Malaysia dalam memperoleh sokongan terutama daripada aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.

Katanya lagi, yayasan itu adalah manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia yang dizahirkan bersama untuk anak-anak yang terkesan daripada pandemik.

“Yayasan ini akan melebar sayap perlindungannya kepada anak-anak Keluarga Malaysia yang lain, yang turut memerlukan sokongan seumpamanya. Inilah maksud keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam Keluarga Malaysia.

“Saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia, bersama membantu generasi ini. Harapan saya, dengan adanya Yayasan Keluarga Malaysia, tidak ada lagi anak Keluarga Malaysia yang terpaksa melalui penderitaan bersendirian.

“Justeru, tinggi harapan saya agar seluruh Keluarga Malaysia kekal bersama dengan mengetepikan perbezaan dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya.

Pada masa, sama beliau berharap kerajaan negeri turut menyokong dasar dan inisiatif Keluarga Malaysia.

Katanya, ini setelah pelbagai program dan inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan di bawah payung Keluarga Malaysia.

“Ini termasuklah Rumah Ikram Keluarga Malaysia, Skuad Keluarga Malaysia, Pakej Peranti Keluarga Malaysia, Pakej Penjagaan Covid-19 Keluarga Malaysia, Keluarga Malaysia Siaga Bencana, Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia dan Residensi Rumah Keluarga Malaysia.

“Inilah program dan inisiatif Keluarga Malaysia, di mana setiap kementerian akan memperkenal sekurang-kurangnya satu program dan inisiatif yang bermatlamat membantu mengurangkan kesan ekonomi yang ditanggung rakyat. Saya berharap ia turut disokong oleh kerajaan negeri,” katanya.

Oleh itu, beliau mengingatkan setiap ahli jemaah menteri dan kementerian-kementerian untuk terus konsisten memberi tumpuan kepada program serta inisiatif yang melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.

“Ini adalah tangggungjawab utama yang telah saya amanahkan kepada mereka,” katanya.

Bagi memantau pelaksanaan konsep Keluarga Malaysia, Ismail Sabri berkata, Keberhasilan Kebahagiaan atau Key Happiness Outcome (KHO) telah diperkenalkan bagi melengkapi Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

“KHO dan KPI ini menjadi komitmen dan kesungguhan kerajaan, untuk membawa negara keluar daripada kelelahan pandemik.

“Bahkan, ia akan memperbaiki kedudukan negara dalam carta Indeks Kebahagiaan Dunia atau World Happiness Report di mana kita kini berada di kedudukan ke-81 pada tahun 2021,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberi jaminan bahawa sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), akan diagihkan kepada enam negeri yang kurang membangun di negara ini.

Katanya, ini bagi memastikan pembangunan sosio ekonomi negara, di negeri-negeri yang kurang membangun iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis akan terus diberi keutamaan, sebagai usaha merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah, bandar dan luar bandar, agar kemakmuran ekonomi dinikmati secara adil dan saksama.

“Bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan dalam RMK12 akan diagihkan kepada enam negeri ini, melibatkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi,” katanya.

Malah, katanya, pendekatan yang sama juga akan menjadi intipati Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada minggu hadapan.

“Dalam merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, kerajaan akan memantau secara dekat pelaksanaan program dan inisiatif yang dirancang, khususnya Sabah dan Sarawak, dalam usaha memastikan kita sama-sama membangun sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI