PICK Remaja di Johor capai 81 peratus - Utusan Malaysia

PICK Remaja di Johor capai 81 peratus

MAZLAN Bujang (tengah) bersama Pemangku Pengarah Pendidikan Johor, Shahlon Abd. Halim (kanan) ketika meninjau hari pertama persekolahan pelajar tingkatan enam di SMK Aminuddin Baki di Johor Bahru. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kadar vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja melibatkan pelajar sekolah di negeri ini telah mencapai sebanyak 81 peratus setakat ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, mengikut statistik yang terkini, sebanyak lima peratus pula sudah lengkap divaksin kedua-dua dos.

Katanya, pemberian vaksinasi menerusi PICK Remaja di negeri ini adalah melibatkan seramai 305,000 remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

“Bagi peringkat negeri Johor, kita berada pada tahap yang baik dari segi pemberian vaksin kerana sebelum ini bagi daerah Johor Bahru pemberian vaksin agak perlahan.

“Sehingga kini, vaksinasi remaja telah mencapai 81 peratus manakala yang telah melengkapkan dua dos suntikan baru mencapai lima peratus,” katanya selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kadar pemberian vaksinasi membabitkan pelajar sekolah di negeri ini.

PICK Remaja di Johor dilaksanakan di 173 pusat pemberian vaksin (PPV) dan ia dijangka berlangsung sehingga akhir November untuk dos pertama dan Disember bagi dos kedua.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, seramai 4,209 pelajar tingkatan enam semester dua di negeri ini kembali menyambung sesi pembelajaran secara bersemuka pada hari ini. 

Katanya, sebagai langkah persediaan, setiap sekolah dibekalkan kit ujian pantas RTK Antigen bagi melakukan ujian calitan terhadap pelajar yang tidak sihat.

“Sekiranya jika ada pelajar yang bergejala, mereka akan ditempatkan di bilik kecemasan di sekolah. Sekiranya ujian RTK Antigen menunjukkan hasil positif, pihak sekolah akan menghubungi Ibu bapa untuk mengambil anak mereka.

“Pelajar perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sama seperti sebelum ini iaitu perlu mengambil suhu badan, sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN