JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor akan mengemukakan 10 cadangan kepada kerajaan negeri untuk dipertimbang dan dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan Johor 2022.
Timbalan Pengerusi PKR negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, Jawatankuasa Bajet 2022 yang dipengerusikan beliau akan mengadakan mesyuarat pada Khamis ini bagi membincangkan perkara tersebut.
Katanya, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad telah sedia maklum mengenai penubuhan jawatankuasa itu selepas mengadakan pertemuan pada Rabu lalu.
Menurutnya, antara 10 cadangan yang mungkin diberikan perhatian adalah berkenaan isu ekonomi, perumahan, air, wanita, orang muda serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Kami telah berbincang dengan Menteri Besar mengenai penglibatan PH Johor dalam Belanjawan Johor 2022 dan secara umumnya beliau bersedia untuk berbincang dan menyambutnya dengan positif.
“Langkah ini membolehkan PH juga dapat turut serta dalam pembentukan belanjawan seperti yang dilakukan di peringkat Persekutuan. Bagi tujuan itu, kita akan cadang sekurang-kurangnya 10 perkara untuk dimasukkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat PKR Johor Cabang Tebrau, di sini hari ini.
Jimmy Puah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuannya dengan Hasni pada 20 Oktober lalu di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Hadir sama pada pertemuan itu ialah ADUN Parit Yaani yang juga Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan dan ADUN Stulang, Chen Kah Eng.
Sementara itu, kata beliau kesemua cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan negeri satu atau dua minggu sebelum pembentangan Belanjawan 2022 pada 25 November ini.
“Fokus utama seharusnya terarah kepada pemulihan ekonomi. Selagi sempadan tak dibuka (Singapura), ekonomi di Johor tidak akan kembali seperti sebelum Covid-19 melanda.
“Keduanya, isu perumahan kerana Menteri Besar mengumumkan kira-kira 70,000 unit rumah di Johor Bahru yang tidak terjual, terbiar dan tidak diduduki,” katanya.










