Pesakit Covid-19 maut langgar pacuan empat roda - Utusan Malaysia

Pesakit Covid-19 maut langgar pacuan empat roda

KAKITANGAN Kementerian Kesihatan melakukan sanitasi ke atas mayat yang telah dibalut dengan plastik selepas maut terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di simpang empat lampu isyarat berdekatan Institut Kemahiran Mara (IKM), Sungai Petani hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pesakit Covid-19 yang masih dalam perintah kuarantin di rumah maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di simpang empat lampu isyarat berdekatan Institut Kemahiran Mara (IKM) di sini hari ini.

Mangsa, Muhamad Amir Daniel, 25, yang mengalami kecederaan parah di kepala, mati di tempat kejadian dalam kemalangan pada pukul 11 pagi.

Ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis SM Bonus dan didapati memakai gelang kuarantin dalam perjalanan ke pekan Sungai Petani dari rumahnya di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abdul Rahman yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa didapati menunggang dengan melulu dan melanggar lampu isyarat merah di persimpangan itu.

“Mangsa merempuh bahagian sisi kanan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang tukang paip berusia 46 tahun yang ketika itu sedang melintas jalan semasa lampu isyarat hijau.

“Akibat rempuhan kuat itu, Muhamad Amir maut di lokasi kejadian manakala pemandu kenderaan Mitsubishi Triton itu pula tidak alami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Anuar menambah, semakan rekod dengan Kementerian Kesihatan mendapati Muhamad Amir positif Covid-19 dan dalam proses kuarantin.

Katanya, mangsa juga dikesan merupakan orang dikehendaki pihak polis, selain mempunyai 14 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN