fbpx

8 Disember 2021, 3:19 pm

  TERKINI

Pertemuan Bersatu-Pas bincang kukuh kerjasama PN- Ahmad Samsuri 

AHMAD Samsuri Mokhtar (kanan) bersama Datuk Seri Mustapa Mohamed selepas Sesi Libat Urus Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pertemuan antara kepemimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas di sini, baru-baru ini turut melibatkan perbincangan bagi mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain isu berkenaan, turut disentuh ialah mengenai perkembangan politik tanah air.

“Biasalah, orang politik kalau berjumpa sudah tentu berbincang tentang politik. Kita melihat keadaan semasa dan bagaimana untuk mempertingkatkan kerjasama.

“Di samping itu, apa lagi yang perlu dibuat untuk menghadapi suasana sekarang, itulah perkara-perkara biasa sahaja,” katanya ketika ditanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Jumaat lalu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di samping Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin menziarahi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Difahamkan, perjumpaan itu diadakan selepas Abdul Hadi selesai menyampaikan kuliah duha secara dalam talian pada pukul 10 pagi.

Yang turut hadir ialah Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. – UTUSAN ONLINE 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI