Pergerakan terbesar, 16 juta dijangka balik kampung, bercuti minggu ini

Pergerakan terbesar, 16 juta dijangka balik kampung, bercuti minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hari ini bermulalah pergerakan beramai-ramai dengan anggaran kira-kira 16 juta rakyat, sebahagian be­sar balik kampung halaman dan ber­cuti selepas setengah ta­hun terkurung di rumah masing-ma­sing.

Bukan itu sahaja, larangan ren­tas negeri berkuat kuasa pada 10 Mei lalu ekoran peningkatan kes Covid-19 menyebabkan rakyat Malaysia terlepas peluang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha di kampung tercinta.

Namun, hasil daripada Prog­ram Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kadar peratusan vaksinasi lengkap yang mencapai 90 peratus akhirnya menjadi tiket kepada rakyat Malaysia untuk pulang semula ke kampung.

Minggu ini juga amat bermakna buat golongan pekerja baik penjawat awam mahupun pekerja swasta yang baru sahaja berpeluang untuk pulang ke ne­­geri masing-masing, selepas seminggu sibuk bekerja.

Sejak dibenarkan merentas negeri pada 11 Oktober lalu de­ngan lebih empat juta kende­raan mulai keluar dari Lembah Klang, dianggarkan seramai 16 juta rak­yat Malaysia pulang ke kampung, jumlah pergerakan yang paling ramai.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan seba­nyak 1.1 juta hingga 1.3 juta ken­deraan dari Lembah Klang melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) manakala 150,000 hingga 160,000 kenderaan me­nuju ke arah negeri-negeri Pantai Timur.

Bagi pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pula, jangkaan jumlah kenderaan meningkat kepada 45,000 sehari berbanding 16,000 sebelum ini.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Mohd. Shuhaimi Hassan berkata, jumlah itu meningkat lebih setengah juta berbanding 3.5 juta kenderaan sehari pada masa kini khususnya bagi pergerakan antara negeri sama ada keluar atau masuk ke Lembah Klang.

Di Utara, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat menjangkakan hampir 120,000 kenderaan akan memasuki negeri itu sepanjang hujung minggu ini, manakala kerajaan Pulau Pinang menjangkakan kemasukan lebih 50,000 pelancong ke Pulau Mutiara itu selain peningkatan jumlah kenderaan di Perlis dan Perak.

Di Selatan, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Deputi Superintendan Khairul Azhar Ismail menjangkakan peningkatan kenderaan di lebuh raya dan di jalan-jalan negeri sebanyak 40 peratus pada hujung minggu ini melibatkan purata kenderaan harian meningkat kepada 19,000 hingga 21,000 buah kenderaan.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah pula berkata, kemasukan kenderaan dijangka meningkat secara mendadak mencecah 45,000 pada hujung minggu ini, selain penambahan jumlah kenderaan di Negeri Sembilan.

Di Pantai Timur, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan sebanyak 50 peratus berbanding kebiasaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat pula menjangkakan bahawa lebih 50,000 kenderaan akan memasuki negeri itu sementara Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man menjangkakan sebanyak 30,000 kenderaan akan memasuki negeri itu.

Ada juga yang pulang ke kampung menggunakan perkhidmatan bas, kapal terbang dan perkhidmatan tren elektrik (ETS), dengan rata-rata penjualan tiket pengangkutan awam meningkat antara tiga hingga empat kali ganda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×