Perak fokus pulihkan pelancongan dalam Bajet 2022 - Utusan Malaysia

Perak fokus pulihkan pelancongan dalam Bajet 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bajet 2022 negeri akan memberi fokus untuk membangunkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri telah menggariskan beberapa bantuan khusus kepada pihak yang terlibat dalam sektor pelancongan.

Menurutnya, fokus kepada pembangunan semula pelancong disebabkan sektor itu memberi sumbangan kepada ekonomi negeri.

“Kerajaan negeri berharap dengan pembukaan semula ekonomi ketika ini, sektor pelancongan dapat dibangunkan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Perak kali ke-33 di sini hari ini.

Menurut Saarani, pembentangan bajet negeri yang dijadualkan Disember depan akan mengambil kira keperluan utama bagi mengimbangi tuntutan rakyat dan keperluan menjana ekonomi.

Beliau berkata, usaha mengukuhkan pertumbuhan ekonomi termasuk fokus kepada peruntukan pembangunan fizikal, bantuan pinjaman kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peniaga-peniaga kecil.

“Kita tidak dapat memberikan kepuasan kepada semua orang, tetapi kita akan cuba sedaya upaya untuk meminimumkan jurang itu.

“Kita akan buat secara seimbang supaya jangan kelihatan ia berat sebelah,” katanya.

Saarani berkata, intipati Bajet 2022 telah dibentangkan dan dibahaskan di peringkat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri minggu lepas dan secara dasarnya dipersetujui.

Menurutnya, bajet negeri mungkin ada perubahan memandangkan ia tertakluk juga kepada Bajet Persekutuan yang akhir dibentangkan bulan ini.

“Kita tengok apa yang diumumkan kepada kita (Perak) nanti, sedikit sebanyak kita akan ubah suai jika ada keperluan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN