Penyuntik tersalah ambil picagari kosong diberhentikan - Utusan Malaysia

Penyuntik tersalah ambil picagari kosong diberhentikan

TANGKAP layar rakaman video menunjukkan petugas kesihatan tersalah suntik picagari kosong kepada seorang remaja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Petugas kesihatan yang tersalah ambil picagari kosong dan menyuntik seorang remaja 12 tahun  diberhentikan tugas memberi vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Universiti Malaya (PPVUM) serta-merta.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) meneliti laporan yang diterima dan pihak Healthcare Organisation (HCO) dilantik di bawah ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. telah memberhentikan petugas tersebut.

“Kerajaan memandang serius insiden seperti ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan proses vaksinasi dilakukan dengan selamat dan sempurna.

“Keselamatan dan kesejahteraan penerima vaksin adalah menjadi keutamaan kami dan semua pengamal perubatan akan terus dipantau untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, CITF-A melaporkan, video tular proses vaksinasi seorang remaja berusia 12 tahun disahkan berlaku di PPVUM selepas seorang petugas kesihatan (penyuntik) tersalah ambil satu picagari kosong dan membuat suntikan kepada penerima vaksin tersebut.

Dalam kejadian pukul 3.16 petang Khamis lalu, siasatan awal ProtectHealth mendapati petugas kesihatan itu tersalah ambil satu picagari kosong yang belum digunakan dari ruangan meja sama dengan picagari berisi vaksin.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi CITF-A berkata, memahami kegusaran ibu bapa dan bagi mengelakkan keraguan dalam proses vaksinasi remaja, CITF-A memutus membenarkan sama ada ibu, bapa atau penjaga, menemani remaja yang mendapatkan vaksinasi sehingga ke stesen vaksinasi untuk melihat sendiri proses diberikan.

“Mulai esok, hanya seorang ibu atau bapa atau penjaga boleh menemani remaja di bawah jagaan masuk ke kawasan PPV iaitu Stesen 1: Saringan Suhu dan gejala, Stesen 2: Pendaftaran vaksinasi, Stesen 3: Kebenaran ibu/bapa/penjaga dan konsultasi dan Stesen 4: Pemberian vaksin.

“Selesai proses vaksinasi, ibu atau bapa atau penjaga diminta menunggu di luar bagi memastikan kerusi yang disediakan di kawasan pemerhatian mencukupi untuk remaja yang telah divaksinasi duduk dan diawasi. Selepas tamat tempoh pemerhatian 15 hingga 30 minit, remaja dikembalikan kepada jagaan ibu atau bapa atau penjaga,” jelasnya.

Dr. Noor Azmi berkata, individu dewasa yang menemani juga dibenarkan merakam video suntikan ke atas remaja ketika proses vaksinasi dijalankan seperti amalan SOP sebelum ini.

“Petugas kesihatan (penyuntik) perlu menunjukkan picagari vaksin yang diisi dengan sempurna kepada penerima. Semua petugas kesihatan dan sukarelawan yang terlibat diingatkan untuk menjalankan tugasan dengan penuh teliti dan bertanggungjawab,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, pada masa sama kerajaan berterima kasih kepada semua petugas kesihatan dan sukarelawan yang telah menjadi tulang belakang kepada kejayaan program vaksinasi selama ini.

“Kemajuan yang kita capai dalam masa yang singkat ini adalah hasil peluh keringat anda semua dan ini sememangnya amat dihargai semua pihak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya