PETALING JAYA: Tergamam.
Itu reaksi tiga pengacara televisyen yang mengendalikan program bual bicara bersama Datuk Seri Ismail Sabri selepas Perdana Menteri secara spontan bertanyakan soalan kepada mereka.
Menerusi rancangan tersebut, Perdana Menteri secara bersahaja kelihatan bagaikan seorang hos dengan bertanya soalan kepada ketiga-tiga pengacara itu mengenai maksud Keluarga Malaysia.
Soalan tersebut mendapat reaksi positif pengacara terbabit dan menyifatkan sebagai sesuatu yang sangat jarang berlaku dalam sesi wawancara eksklusif bersama Perdana Menteri.
Salah seorang pengacara itu, Azaria Tagaya berkata, itu pengalaman pertama dilaluinya apabila ditanyakan soalan Perdana Menteri.
“Datuk Seri rasanya ini kali pertama Perdana Menteri bertanya kita soalan dalam wawancara eksklusif. Nanti beliau ambil kerja kita pula selepas ini,” katanya.
Azaria menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya turut mengakui terkejut apabila secara tiba-tiba diajukan soalan sedemikian.
“Bila Perdana Menteri pula tanya pengacara. Tergamam jugalah, sedang dalam wawancara eksklusif dengan Perdana Menteri, tiba-tiba Perdana Menteri tanya soalan kepada pengacara,” tulisnya. – UTUSAN










