JEMPOL: Mayat seorang lelaki ditemukan di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) di Jalan Kebun, Ladang Gaddes, di sini, pagi tadi.
Mayat Md. Jani Sulong, 66, merupakan seorang peneroka Felda Serting Hilir ditemukan meninggal dunia dalam kenderaan jenis Ford Ranger pada pukul 11.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa adalah individu yang dimaklumkan kehilangannya di Balai Polis Ladang Gaddes oleh ahli keluarganya.
“Pagi ini, mangsa ditemukan di dalam kenderaannya di kebun sawit oleh orang awam.
“Hasil siasatan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di kedai perkakasan berhampiran kebun mendapati mangsa terus terbabas masuk ke dalam kawasan kebun yang terletak bertentangan premis berkenaan.
“Berdasarkan semakan CCTV tersebut, kemalangan berlaku kira-kira pukul 11 pagi semalam. Mangsa dalam perjalanan dari kedai perkakasan Ladang Gaddes menuju ke Felda Serting Hilir dipercayai telah terbabas ke dalam kebun sawit dan melanggar pokok sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chang Hook berkata, akibat kemalangan berkenaan, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat serangan jantung.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol untuk bedah siasat esok susulan menunggu keputusan Covid-19.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE










