Penerima surat hak milik kekal tanah dinasihatkan tidak jual, bakal disenarai hitam - Utusan Malaysia

Penerima surat hak milik kekal tanah dinasihatkan tidak jual, bakal disenarai hitam

WAN Rosdy Wan Ismail menyantuni sebahagian penerima suratan hak milik tanah Taman Sepakat selepas selasai menyerahkan suratan hak milik tersebut kepada 81 penerima di Dewan Taman Sepakat di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri memandang serius dan bercadang mengambil tindakan terhadap mana-mana penerima suratan hak milik kekal yang menjual tanah diberikan pihak kerajaan kepada mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua penerima dinasihatkan tidak menjual tanah kerana nama mereka boleh disenarai hitam kerana cuba mengambil peluang mengaut keuntungan atas tanah yang diberikan kerajaan negeri.

Menurutnya, tindakan mereka juga akan membantutkan usaha kerajaan dalam mengagihkan tanah kepada golongan sasaran.

“Kita kena ingat, sumber tanah adalah terhad dan tidak sepatutnya mereka yang mendapat hak milik atas tanah kerajaan negeri yang dipohon menjual tanah itu untuk mendapatkan keuntungan cepat.

“Tanah ini janganlah dijual bila sudah dapat, bukan senang untuk kita hendak dapat, kalau jual nanti penerima sudah tidak ada tanah.

“Jika mahu mohon lagi bukan senang dapat. Gunalah sebaik mungkin dan kalau belum ada rumah boleh bangunkan dengan membina rumah dan sebagainya atas tanah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Suratan Hak Milik Kekal Taman Sepakat dan Sumbangan Wang Ihsan di Dewan Taman Sepakat di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Rahim Muda dan Timbalan Menteri Kewangan 1 yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah.

Pada majlis berkenaan, seramai 81 pemilik tanah yang tinggal di Taman Sepakat, dekat sini menerima suratan hak milik masing-masing.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy turut berkata, proses pemberian suratan hak milik kepada penduduk mengambil masa lama kerana perlu melalui beberapa proses sebelum dimuktamadkan.

“Memang proses untuk mengeluarkan suratan hak milik ini mengambil masa sedikit kerana perlu melalui prosedur tertentu. Macam di sini (Taman Sepakat), mereka menunggu kira-kira 40 tahun sebelum kerajaan negeri dapat mengagihkan suratan hak milik kepada semua pemilik,” katanya.

Sementara itu tambah beliau , seramai 2,990 penduduk terjejas banjir di sekitar daerah Kuantan menerima sumbangan wang ihsan.

“Setiap ketua isi rumah menerima RM500 dan secara keseluruhannya sumbangan wang ihsan ini membabitkan peruntukan berjumlah RM1.4 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bencana yang diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sebahagian daripada penduduk menerima wang ihsan hari ini dan selebihnya akan diagihkan secara berperingkat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya