Penduduk minta baiki segera jambatan runtuh - Utusan Malaysia

Penduduk minta baiki segera jambatan runtuh

ASHARI Abu Hassan (kiri) melihat kesan runtuhan jambatan akibat bencana kepala air di Kampung Setol, Yan semalam. – UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Lebih 500 penduduk di Kampung Setol dan Kampung Pauh di sini meminta kerajaan membaiki segera sebuah jambatan yang runtuh dalam kejadian kepala air pada 18 Ogos lalu.

Jambatan sepanjang kira-kira 10 meter itu merupakan jalan pintas kepada penduduk termasuk pelajar di kampung berkenaan berulang alik ke pekan Yan di sini dan sekolah.

Seorang penduduk di Kampung Setol, Ashri Abu Hassan, 48, yang tinggal berdekatan jambatan itu berkata, dia hairan kerana tiada sebarang kerja membersihkan kesan runtuhan jambatan tersebut walaupun kejadian kepala air telah berlaku kira-kira dua bulan lalu.

“Tiada sebarang tanda-tanda untuk menyegerakan kerja-kerja pembinaan semula jambatan itu.

“Penduduk dimaklumkan kerajaan telah meluluskan bantuan segera sebanyak RM75 juta bagi memperbaiki segera kemudahan awam dan infrastruktur yang rosak akibat kesan daripada kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru  ini.

Seorang lagi penduduk, Abdul Hamid Nayan, 60, berkata, jambatan tersebut merupakan jalan pintas kepada pelajar di kampung ini ke Sekolah Kebangsaan Kampung Pauh yang terletak di seberang sungai.

“Musim persekolahan bakal bermula dan ini tentunya menyusahkan kami dan pelajar terutamanya yang menggunakan basikal kerana terpaksa melalui laluan Kampung Seri Perigi yang berjarak lebih kurang empat kilometer untuk berulang alik.

“Begitu juga penduduk Kampung Pauh yang tinggal berdekatan jambatan di seberang sungai akan terganggu kerana mereka terpaksa menggunakan laluan yang jauh di Yan Kechil untuk sebarang urusan di pekan Yan,” katanya.

Penduduk Kampung Pauh, Norazlina Arshad, 42, pula berkata, kerja-kerja membersihkan kesan runtuhan jambatan itu sepatutnya dilakukan lebih awal untuk kelancaran air di sungai tersebut terutamanya selepas hujan lebat.

“Hujan lebat yang sering berlaku sejak kebelakangan ini dibimbangi aliran air sungai tersekat di kawasan jambatan yang runtuh itu dan kemudiannya akan melimpah ke rumah penduduk berdekatan.

“Kami merayu, segerakanlah membaiki atau membina semula jambatan ini kerana ia bukan sahaja berfungsi sebagai laluan penduduk tetapi juga memudahkan aliran air jika berlaku lagi kejadian kepala air di sungai tersebut,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN