PETALING JAYA: Statistik Utama Tenaga Buruh Ogos 2021 yang dikeluarkan hari ini melaporkan penduduk bekerja meningkat sebanyak 81,800 orang kepada 15.38 juta orang bulan ini, berbanding Julai dengan 15.29 juta orang selepas menurun bagi dua bulan berturut-turut.
Laporan itu berkata, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga meningkat 0.2 mata peratus kepada 65.2 peratus berbanding 65.0 peratus Julai lepas.
Katanya, sektor perkhidmatan terus mencatatkan perubahan positif bulan ke bulan terutama dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit serta kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial.
“Guna tenaga dalam sektor Pembuatan dan Pembinaan juga merekodkan pertumbuhan positif selepas mencatatkan penurunan pada bulan sebelumnya manakala sektor pertanian, perlombongan dan pengkuarian kekal dalam trend menurun,” kata laporan itu.
Menurut laporan itu, kategori pekerja yang meliputi 77.4 peratus, meningkat sebanyak 27,900 orang merekodkan 11.90 juta orang pada bulan itu selepas mencatatkan penurunan bagi tempoh dua bulan sebelumnya.
“Begitu juga, penduduk bekerja sendiri yang merangkumi penerima gaji harian yang bekerja sebagai pengusaha perniagaan kecil seperti peruncit kecil, penjaja, penjual di pasar dan gerai serta pekebun kecil terus meningkat sejak Februari lepas dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 1.4 peratus atau 33,900 orang merekodkan 2.54 juta orang,” katanya.
Tambahnya, kadar pengangguran bulan tersebut juga menurun sebanyak 0.2 mata peratus kepada 4.6 peratus berbanding Julai yang merekodkan 4.8 peratus.
“Oleh itu, bilangan penganggur berkurang sebanyak 3.8 peratus bulan ke bulan atau bersamaan 29,400 orang mencatatkan 748,800 orang.
“Ini merupakan penurunan pengangguran yang pertama selepas merekodkan peningkatan pada Jun dan Julai lepas,” katanya.
Kata laporan itu lagi, bilangan tenaga buruh bulan itu juga terus meningkat bagi bulan kedua sebanyak 0.3 peratus atau dengan pertambahan 52,500 orang kepada 16.13 juta orang berbanding Julai dengan 16.07 juta orang.
Ujarnya, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan lepas juga meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 68.4 peratus berbanding Julai dengan 68.3 peratus.
“Pada bulan tersebut, bilangan luar tenaga buruh menurun sebanyak 0.4 peratus atau 26,900 orang merekodkan 7.45 juta orang (Julai adalah 7.48 juta orang).
“Komponen terbesar luar tenaga buruh adalah kerja rumah atau tanggungjawab keluarga yang meliputi 44.8 peratus dan diikuti oleh kategori bersekolah atau latihan dengan 41.8 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, menurut laporan itu, hasil positif daripada penurunan kes Covid-19 harian dan peningkatan jumlah suntikan dos vaksinasi di seluruh dunia dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi global.
Selain itu katanya, begitu juga indikator Covid-19 negara ini mula menunjukkan penurunan sementara bilangan golongan dewasa yang lengkap divaksinasi mencapai kadar lebih daripada 88 peratus yang membawa kepada peralihan lebih banyak negeri ke fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutnya.
“Peralihan positif ini memberi isyarat bahawa prestasi ekonomi Malaysia akan pulih semula secara beransur-ansur susulan lebih banyak perniagaan kembali beroperasi dengan kapasiti yang lebih.
“Walaupun cabaran akan berterusan pada bulan-bulan berikutnya disebabkan oleh situasi kesihatan awam yang tidak menentu, pelaksanaan PPN yang membenarkan pembukaan semula ekonomi dengan lebih selamat dijangka akan dapat memacu ekonomi negara untuk pulih secara progresif.
“Prestasi ekonomi negara yang menggalakkan akan meningkatkan permintaan buruh termasuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam ekonomi.
“Oleh itu, ekonomi dan pasaran buruh dijangka pulih secara berperingkat pada bulan-bulan akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE