Pendakwaan boleh cabar kredibiliti Rosmah Mansor

Pendakwaan boleh cabar kredibiliti Rosmah

ROSMAH Mansor hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid. - FOTO/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pernyataan Datin Seri Rosmah Mansor yang dirakam ketika siasatan kes pengubahan wang haram, boleh digunakan untuk mencabar kredibiliti beliau pada perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid yang sedang didengar di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berpuas hati bahawa pernyataan di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) boleh diterima masuk di bawah Seksyen 40 akta yang sama.

Sehubungan itu, beliau membenarkan pihak pendakwaan mencabar kredibiliti isteri bekas Perdana Menteri dan prosiding dikendalikan mengikut Seksyen 145 dan Seksyen 155 Akta Keterangan 1950, bukan di bawah Seksyen 72 AMLA.

Mahkamah memutuskan demikian selepas berpendapat permohonan pihak pendakwaan tidak akan memprejudiskan tertuduh dalam perbicaraan kes rasuah yang kini di peringkat pembelaan.

Hakim Mohamed Zaini turut membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyoal balas berhubung karektor Rosmah di bawah Seksyen 54 Akta Keterangan.

Pendakwaan memohon demikian atas alasan pernyataan yang dirakam sewaktu siasatan kes pengubahan wang haram, bercanggah dengan keterangan Rosmah dalam kes rasuah.

Bagaimanapun mahkamah tidak membenarkan soalan dikemukakan berkaitan kes AMLA kerana perbicaraan kes itu belum bermula.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah, pernyataan Rosmah dalam kes AMLA boleh digunakan untuk menyoal balas beliau dalam usaha mencabar kebolehpercayaannya dalam perbicaraan kes rasuah.

Bagaimanapun, peguam-peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader berhujah agar permohonan itu ditolak kerana pernyataan Rosmah dalam kes pengubahan wang haram tidak boleh digunakan untuk mencabar kredibiliti beliau dalam kes rasuah.

Hakim Mohamed Zaini kemudian menangguhkan perbicaraan sehingga 8 Disember ini.

Rosmah, 69, sedang dibicarakan atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid di sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya