Penalti ragut tiga mata TRW - Utusan Malaysia

Penalti ragut tiga mata TRW

REZAL ZAMBERY YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dua sepakan penalti ‘mudah’ yang diberikan oleh pengadil meranapkan impian Kelantan untuk meraih mata penuh apabila sekadar seri 2-2 dengan Sabah dalam aksi Kumpulan D Piala Malaysia, malam kelmarin.

Saingan di Stadium Sultan Muhammad IV itu menyaksikan pengadil perlawanan Fitri Maskon menghadiahkan penalti untuk Sabah pada minit ke-31 selepas bola terkena tangan kapten Kelantan, Zubir Azmi.

Fitri sekali lagi menghadiahkan penalti kepada Sabah selepas N. Thanabalan dijatuhkan dalam kawasan tersebut pada minit ke-78 sekali gus meranapkan impian The Red Warriors (TRW) meraih mata penuh.

Tindakan tersebut nyata mengecewakan seluruh penyokong setia Kelantan FC apabila pasukan kesayangan mereka sedang mendahului kedudukan dengan 2-1 ketika perlawanan semakin menghampiri visel penamatan.

Penolong jurulatih TRW, Rezal Zambery Yahya bagaimanapun menghamburkan pujian kepada barisan pemainnya yang telah bertungkus-lumus sepanjang perlawanan tersebut dengan memberikan aksi terbaik.

“Saya beranggapan kita menang 2-1, namun nasib tidak menyelebahi kami. Berdepan Sabah bukan tugas mudah, namun pemain saya telah membuktikan sesuatu diluar jangkaan apabila kita bermain secara menyerang.

“Hasilnya, Kelantan FC berjaya menjaringkan gol dan ia sesuatu yang positif buat saya apabila masih belum dapat mempertaruhkan barisan terbaik dalam saingan Piala Malaysia akibat masalah kecederaan,” katanya.

Rezal Zambery memberitahu, meskipun meraih satu mata perlawanan itu namun dia optimis TRW masih mempunyai peluang untuk mara ke pusingan berikutnya.

Anak jati Johor itu berkata, ruang dan kesempatan yang ada selepas ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbaiki kelemahan menjelang perlawanan selepas ini.

Pada perlawanan itu, gol-gol Kelantan disumbangkan oleh Natanael Ringo (minit ke-39) dan  Muhammad Haziq Muhd Sobri (minit ke-70).

Dua gol penalti Sabah FC disumbangkan oleh Risto Mitrevski pada minit ke-31 dan 78.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya