Pemuda PH Sabah desak siasat pendedahan Pandora Papers - Utusan Malaysia

Pemuda PH Sabah desak siasat pendedahan Pandora Papers

(Kiri ke kanan) RENDY Ismail, Shahrizal Denci, Howard Lee dan Felix Joseph menunjukkan laporan polis yang dibuat berkaitan Pandora Papers dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah mendesak agar Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara segera membahaskan pendedahan Pandora Papers dan isu pengaliran wang ke luar pesisir.

Langkah itu penting kerana ia membabitkan pendedahan yang mencemarkan integriti negara dan ia tidak boleh dipandang ringan oleh pihak berkuasa.

Sejajar dengan itu, Pemuda PH Sabah membuat laporan polis bagi mendesak individu yang didedahkan terlibat dalam Pandora Papers disiasat dan diambil tindakan sewajarnya.

Ketua Pemuda PH, Howard Lee Chuan How berkata, implikasi aliran wang ke luar pesisir ini cukup serius dan wajib diambil peduli bagi mengelakkan harta negara terus dimanipulasi demi kepentingan peribadi.

Beliau berkata, individu-individu yang disenaraikan dalam Pandora Papers terdiri daripada tokoh-tokoh politik dan taikun-taikun korporat dan mereka ini menconteng arang serta mencemarkan kedaulatan negara.

Justeru itu, Pemuda PH mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) turut ditubuhkan bagi menyiasat impak dan implikasi terhadap rakyat berikutan isu pengaliran wang ke luar pesisir.

Dalam pada itu, Howard mahu individu yang disenaraikan dalam Pandora Papers ini harus menyerah diri kepada pihak berkuasa bagi membolehkan nama mereka dibersihkan sekiranya mereka tidak terlibat dengan aktiviti haram yang melanggar undang-undang dan mencemarkan kedaulatan negara.

“Pendedahan International Consortium of Investigative Journalism (ICIJ) yang dinamakan Pandora Papers ini adalah bukti dan petunjuk yang membolehkan institusi kehakiman Malaysia menyiasat dalang-dalang yang terlibat dengan aliran wang dan harta secara haram ke luar negara,” katanya selepas membuat laporan polis bersama Pemuda PH Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Laporan polis itu sebagai satu gesaan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan amanah, tanggungjawab dan membersihkan semula nama Malaysia daripada salah laku aliran wang haram.

Kenyataan Howard itu dibuat secara bersama dengan Ketua Pemuda Sosialis DAP Sabah, Phoong Jin Zhe; Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang; Ketua Pemuda Amanah Sabah, Rendy Ismail dan Pengerusi MUDA Sabah, Shahrizal Denci. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya