Pemimpin Pemuda, Puteri perlu diberi ruang - Shahril Hamdan - Utusan Malaysia

Pemimpin Pemuda, Puteri perlu diberi ruang – Shahril Hamdan

SHAHRIL SUFIAN Hamdan (lima dari kanan) menyaksikan Ab. Rauf Yusoh menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan pidato peringkat negeri di Hotel La Crista, Jalan Hang Tuah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: UMNO perlu mempertimbangkan ruang yang lebih kepada pemimpin Pergerakan Pemuda dan Puteri parti itu untuk diketengahkan sebagai calon Pilihan  Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, secara peribadi, beliau menyifatkan sudah tiba masanya pucuk pimpinan menyerlahkan muka-muka baharu sebagai pilihan kepada pengundi muda.

“Kita bukan hendak menggantikan yang sedia ada tetapi lebih kepada keseimbangan supaya generasi muda, (kelompok) yang besar akan mengundi pada PRU-15 nanti mahukan kepemimpinan yang sama umur dengan mereka.

“Saya kenal rapat dengan pemimpin Pemuda dan Puteri sama ada di peringkat Pusat atau negeri, memang mereka ini ada bakat dan kebolehan.

“Bagaimanapun, kita serahkan kepada kebijaksanaan pucuk kepemimpinan tertinggi parti tetapi mesejnya cukup jelas, untuk dipertimbangkan oleh mereka buat keputusan tersebut,” katanya.

Beliau hadir pada majlis penyampaian hadiah pertandingan pidato dalam talian Penerangan UMNO (Pumas) peringkat negeri, disempurnakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Ab. Rauf Yusoh di Hotel La Crista, Jalan Hang Tuah di sini hari ini.

Sharil Sufian yang juga Ketua Penerangan UMNO menambah, pemimpin Pemuda dan Puteri negeri ini juga berkemampuan untuk diketengahkan sebagai calon menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Ditanya mengenai pendekatan untuk mendekati pengundi menjelang PRN, beliau berkata, keadah penyampaian tidak lagi perlu tertumpu kepada ahli UMNO sahaja.

Menurut Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri itu, pendekatan kali ini perlu lebih luas skopnya, sekiranya UMNO ingin melihat Barisan Nasional (BN) menang di kerusi ditandingi.

“Orang UMNO tidak boleh berhujah kepada orang parti sahaja dan tidak boleh menggunakan saluran yang nampak kita sangat selesa. Yang mana mereka ini terdiri daripada penyokong tegar,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN