Pembubaran DUN Sarawak, terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong - Utusan Malaysia

Pembubaran DUN Sarawak, terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong

Abang Johari Tun Openg bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Sri Aman Delevopment Agency (SADA) 2021, di Sri Aman pada hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SRI AMAN : Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan beliau sudah pun menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.

Bagaimanapun, tegasnya beliau hanya membincangkan hal berkaitan Proklamasi Darurat (Sarawak) serta situasi Covid-19 di negeri itu dan tidak membincangkan untuk mengadakan sebarang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

“Ya, saya sudah menghadap baginda (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah), tetapi perbincangan itu hanya tentang proklamasi darurat di Sarawak serta situasi Covid-19, bukan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Pelancaran Sri Aman Development Agency (SADA) 2021, di Sri Aman hari ini

Tambahnya lagi, desas-desus pembubaran DUN Sarawak yang akan diumumkan esok (Jumaat) hanya sekadar khabar angin.

“Saya pun terkejut apabila melihat khabar berita berhubung pembubaran DUN Sarawak, tetapi apa yang boleh saya katakan…kita tunggu dan lihat saja,” jelasnya.

Ditanya berhubung persediaan kerajaan negeri menjelang PRN-12, Abang Johari berkata segala keputusan dan persiapan terpulang kepada pengumuman Seri Paduka.

Terdahulu, desas-desus pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan diumumkan pada hari ini ataupun esok bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) mula kedengaran.

Pada Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri itu sehingga 2 Februari tahun depan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN