LANGKAWI: Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Program Anakku Sejahtera memperuntukkan pembiayaan berjumlah RM1 juta kepada setiap bayi baru lahir daripada keluarga berpendapatan rendah di negeri ini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, peruntukan tersebut akan diberikan kepada setiap bayi yang dilahirkan di negeri ini dari 1 Januari lalu hingga 31 Disember ini.
Kata beliau, sumbangan berkenaan akan diberikan dalam bentuk tabungan Skim Simpan SSPN Prime yang dahulunya dikenali sebagai SSPN- i dengan jumlah RM100 setiap seorang.
“Bagi memastikan bantuan ini sampai kepada golongan sasaran, kerajaan negeri menetapkan beberapa syarat untuk permohonan sumbangan antaranya bayi mestilah warganegara dan dilahirkan di negeri Kedah.
“Selain itu, ibu atau bapa lahir di negeri ini atau telah bermastautin melebihi 10 tahun dengan pendapatan isi rumah RM3,000 sebulan dan ke bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Anakku Sejahtera di Aloft Langkawi di Pulau Tengah di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Katanya, permohonan perlu dilakukan dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh kelahiran yang didaftarkan di sijil kelahiran.
“Agak mendukacitakan saya apabila statistik terkini menunjukkan masih ramai ibu bapa belum tampil membuat permohonan sumbangan ini.
“Saya dengan ini mengumumkan kerajaan negeri bersetuju bahawa syarat tempoh selama tiga bulan dari tarikh kelahiran untuk permohonan didaftarkan dimansuhkan,” jelasnya.
Justeru, katanya, ibu bapa yang mempunyai anak yang lahir pada 1 Januari lalu hingga 31 Disember boleh memohon sumbangan jika menepati syarat yang ditetapkan.
“Borang permohonan dan maklumat lanjut berkaitan program ini boleh didapati di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berhampiran yang mana deposit RM100 akan dimasukkan ke dalam akaun Simpan SSPN Prime selepas permohonan diluluskan,” katanya.
Tambahnya, instrumen simpanan melalui Simpan SSPN Prime menawarkan pelbagai keistimewaan dan kelebihan yang sangat berbaloi kepada semua rakyat negara ini. UTUSAN ONLINE