Pemandu belum lengkap vaksin gagal cuba nasib masuk Kelantan - Utusan Malaysia

Pemandu belum lengkap vaksin gagal cuba nasib masuk Kelantan

SHAFIEN Mamat melakukan pemeriksaan rawak terhadap sijil digital vaksin pemandu yang melalui SJR Bukit Yong, Pasir Puteh, petang ini. - UTUSAN/ TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Hari pertama kelonggaran merentas negeri menyaksikan satu kes kenderaan dari luar gagal memasuki Kelantan dan diarah berpatah balik selepas pemandunya didapati belum lengkap dua dos vaksin. 

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kes tersebut dikesan dalam pemeriksaan rawak pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekatan jalan raya (SJR) Bukit Yong, dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan sama kata beliau, berlaku peningkatan sebanyak 20 peratus kenderaan dari luar melalui pintu masuk utama Kelantan sehingga lewat petang ini.

Katanya, pertambahan kenderaan terutama dari ibu negara dan selatan tanah air dikesan di SJR-SJR utama yang masih dilakukan di bawah penugasan Op Benteng Empat bermula awal pagi ini

“SJR terbabit terletak di laluan utama masuk ke negeri ini iaitu dua SJR di Gua Musang dan masing-masing satu SJR di Jeli dan Pasir Puteh. Sementara itu, 16 SJR lain telah ditamatkan tepat pukul 12 tengah malam.

“Empat SJR di pintu masuk utama dikekalkan bagi penugasan pencegahan jenayah serta pengawasan berkaitan SOP. Kenderaan dari luar dijangka bertambah pada hujung minggu dan cuti umum,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau turun padang memantau perkembangan SJR Bukit Yong dengan diiringi Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Azmir Damiri.

Menurut Shafien, sepanjang kelonggaran rentas negeri diberikan, polis Kelantan menubuhkan 154 pasukan pemantau beruniform dan berpakaian biasa bagi memantau lokasi peranginan, pusat rekreasi, restoran dan kawasan awam.

“Pengawasan ini melibatkan 540 pegawai dan anggota pelbagai pangkat. Kompaun akan dikeluarkan tanpa kompromi sekiranya terdapat individu yang  melanggar SOP,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN