KOTA KINABALU: Pelombong emas haram di hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad menggunakan laluan tikus menyebabkan pergerakan mereka sukar dikesan pihak berkuasa.
Saiz hutan belantara yang sangat besar keluasannya menyebabkan pergerakan kumpulan itu sukar dikesan walaupun terdapat pos kawalan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS).
Jurucakap JPS berkata, biarpun pasukan pemantau udara turut melakukan rondaan namun, kumpulan pelombong emas itu bijak mengatur gerak dan bersembunyi menggunakan kanvas yang ditutup dengan ranting-ranting pokok.
Malah, lubang yang dikorek juga ditutup dengan timbunan daun bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Susulan penemuan barangan yang digunakan bagi aktiviti perlombongan emas di kawasan Sungai Bole di hutan simpan berkenaan semasa Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan sejak 14 Ogos lalu, JPS akan meneruskan kawalan di laluan-laluan yang digunakan.
“Sekarang kita akan melakukan kawalan ketat di laluan-laluan yang berpotensi untuk digunakan dan menghantar pasukan unit khas yang terlatih untuk membuat pemantauan dan pemerhatian di lokasi tersebut.
“Jika ada penceroboh, kita akan kepung dan tangkap dengan serta-merta,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Di samping itu, JPS juga akan menyediakan tapak pendaratan helikopter bagi mempermudahkan penghantaran pasukan pemantau.
Jelas beliau, memandangkan kawasan perlombongan emas itu agak terpencil dan terletak jauh di dalam hutan maka, perjalanan akan mengambil masa yang lama.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan pelombong emas haram menceroboh Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu bagi melakukan aktiviti melombong emas yang mampu memperoleh kira-kira empat kilogram emas setiap kali aktiviti itu dilakukan.
Walau bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan sepanjang OBK dijalankan sejak Ogos, hanya barangan serta pondok yang dijadikan penempatan sementara pelombong emas haram berjaya ditemukan. – UTUSAN











