GEORGETOWN: Seramai enam pelanggan sebuah bar dan restoran di Jalan Magazine di sini dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 seorang gara-gara belum lengkap menerima vaksinasi Covid-19 bagi aktiviti makan di kedai.
Pelanggan terbabit terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita masing-masing berusia 23 hingga 37 tahun.
Operasi Op Pemantauan dan Pematuhan prosidur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut kira-kira pukul 10.50 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam operasi tersebut pemilik premis berkenaan turut dikompaun atas kesalahan membenarkan pelanggan yang belum lengkap divaksinasi menjalani aktiviti ‘dine-in’.
“Masing-masing enam pelanggan dikenakan kompaun RM2,000 manakala pemilik premis pula dikompaun sebanyak RM10,000.
“Tindakan kompaun dilakukan mengikut Peraturan 16(1) Kawalan Pergerakan Penyakit Berjangkit Dan Hukuman di Bawah Peraturan 17(1) Peraturan sama dan Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit berdasarkan nilai magnitud jadual kesalahan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan demi membantu memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 di negara ini.










