Pelancong ke Pangkor wajib disaring - Utusan Malaysia

Pelancong ke Pangkor wajib disaring

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Penggiat pelancongan di Pulau Pangkor mahu saringan wajib dilakukan di terminal jeti di Lumut dan Marina Island bagi memastikan hanya mereka yang sudah disuntik dua dos vaksin Covid-19 sahaja dibenarkan menaiki feri ke pulau itu yang dibuka kepada pengunjung mulai semalam.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, Mohd. Zamzuri Suid berkata, ini bagi memastikan tidak berlaku masalah kepada pengunjung itu sendiri apabila mereka tidak dibenarkan menggunakan kemudahan pelancongan jika tidak lengkap divaksinasi.

 

MOHD. ZAMZURI SUID

“Kami penggiat pelancongan di Pulau Pangkor termasuk pengusaha hotel, resort, pengendali rekreasi air, pengusaha restoran, pemandu teksi dan lain-lain sudah bersepakat hanya menawarkan perkhidmatan kepada mereka yang sudah lengkap divaksin.

“Jika tiada saringan, kemungkinan mereka yang tidak divaksin atau hanya menerima satu dos vaksin akan datang, kemudian dilarang masuk atau menggunakan perkhidmatan yang ada di pulau, ia akan menjadi punca pertelagahan pula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Zamzuri bersyukur dengan keputusan kerajaan membenarkan rentas negeri dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang membolehkan sektor pelancongan di pulau tersebut kembali ‘bernyawa’ serta membantu mereka yang ketika ini berada dalam keadaan kritikal dalam kehidupan.

“Kami berharap pengusaha feri dan pengendali jeti menitikberatkan perkara ini terutama ketika mahu menaiki feri,” jelasnya.

Menurut Zamzuri, dalam kalangan pengusaha hotel juga mengehadkan bilangan pengunjung yang menginap iaitu pada 50 peratus hingga 60 peratus daripada kapasiti sedia ada.

Katanya, walaupun sektor pelancongan sudah dibuka sepenuhnya, pihaknya tidak mahu tergopoh-gapah mengambil penginap 100 peratus kapasiti bilik bagi mengelakkan risiko jangkitan jangka panjang.

Jelasnya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan tetap dikuat kuasakan dan berharap penginap terus mematuhinya walaupun Covid-19 akan dikategorikan sebagai penyakit endemik selepas ini.

“Dalam tempoh seminggu ini pun kehadiran pelancong (dari dalam Perak) amat menggalakkan sekali gus merancakkan kembali sektor pelancongan di pulau ini,” jelasnya lagi.

Beliau menjangka bilangan pengunjung ke pulau itu akan meningkat mendadak terutama apabila jadual perjalanan feri tiga kali sehari sekarang, ditambah kepada lapan hingga 10 perjalanan sehari selepas ini.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN