IPOH: Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui berdepan cabaran getir jika dicabar oleh Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, untuk itu beliau perlu bekerja lebih kuat bagi mempertahankan kerusi yang disandang sambil menyifatkan Farhash Wafa sebagai saingan yang bukan sembarangan.
“Saya perlu bekerja lebih kuat kerana orang yang mahu bertanding bukan calang-calang. Orang yang saya kira tahapnya boleh sehingga menjadi Perdana Menteri.
“Tentunya saya perlu bekerja lebih kuat untuk memastikan saya terpilih sekali lagi di Parlimen Tambun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga yang memerlukan bantuan rumah di Manjoi, di sini hari ini.
Sebelum ini, Farhash Wafa mengesahkan bertanding di kerusi DUN dan Parlimen di negeri ini pada PRU-15 yang mana antara kawasan dipertimbangkan adalah dalam Parlimen Kuala Kangsar dan kawasan ditandingi Ahmad Faizal.
Sementara itu, ditanya sama ada akan kekal bertanding di kerusi Parlimen Tambun dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang, Ahmad Faizal berharap dapat terus berkhidmat dan menabur bakti di dua kawasan itu.
Katanya, sama ada beliau atau orang lain yang bertanding di kerusi tersebut, apa yang penting baginya adalah memperkukuh Pakatan Nasional (PN).
“Yang penting sekarang ini, tengah ada umur, tanggungjawab dan jawatan, kita buatlah kerja. Harapan pada masa akan datang saya boleh menabur bakti tetapi kalau saya tiada umur, tentunya tidak. Itu semua kuasa Allah.
“Di DUN Chenderiang pun, saya akan berusaha membuat kerja sebaik mungkin. Banyak masalah di sana dan banyak pembangunan yang perlu dibuat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










