Greece bakal haramkan media sosial bagi remaja bawah 15 tahun - Utusan Malaysia

Greece bakal haramkan media sosial bagi remaja bawah 15 tahun

PENGENDALI media sosial diwajibkan melaksanakan pengesahan umur pengguna platform masing-masing berkuat kuasa 1 Jun 2026. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATHENS: Greece secara rasmi mengumumkan rancangan untuk menyekat akses media sosial bagi kanak-kanak dan remaja di bawah usia 15 tahun.

Rancangan itu menjadikannya sebagai negara Eropah terbaharu yang mengambil langkah tegas bagi mengehadkan pendedahan golongan muda terhadap platform digital. 

Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis menyatakan bahawa langkah itu bertujuan menangani peningkatan masalah kegelisahan dan gangguan tidur dalam kalangan belia.

Beliau turut mengkritik reka bentuk aplikasi tertentu yang menurutnya sengaja dicipta untuk mencetuskan ketagihan. 

Sekatan ini dijadualkan berkuat kuasa sepenuhnya bermula Januari tahun depan.

Langkah drastik Greece ini menyusuli tindakan Australia yang menjadi negara pertama di dunia pada Disember tahun lalu mewajibkan platform seperti TikTok, YouTube dan Snapchat memadam akaun pengguna bawah 16 tahun atau berdepan dikenakan denda berat. 

Trend ini semakin mendapat perhatian di benua Eropah apabila Perancis, Austria dan Sepanyol turut sedang mengusahakan sekatan serupa. 

Dalam pada itu, kerajaan United Kingdom (UK) sedang menjalankan sesi perundingan mengenai larangan bawah 16 tahun, manakala Ireland dan Denmark dilaporkan turut mempertimbangkan langkah sama.

Bagaimanapun, syarikat-syarikat media sosial berhujah bahawa larangan menyeluruh seumpama ini tidak akan berkesan dan sukar untuk dikuatkuasakan secara teknikal. 

Syarikat-syarikat juga bimbang tindakan tersebut akan memencilkan remaja yang mungkin memerlukan sokongan komuniti dalam talian. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN