Pegawai SPRM nyaris jatuh tangga elak media - Utusan Malaysia

Pegawai SPRM nyaris jatuh tangga elak media

Wan Kamarul Za'im Wan Mansor terjatuh ketika cuba melarikan diri bersama Amir Izham Shahak (kiri) daripada jurugambar setelah didakwa atas tuduhan menipu untuk menerima wang di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru di Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang daripada dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan  Rasuah Malaysia (SPRM) nyaris jatuh tangga ketika cuba mengelak wajahnya dirakam media dalam kejadian  di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Terdahulu, kedua-dua penjawat awam itu didakwa atas pertuduhan menipu seorang penguat kuasa untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM40,000 bagi menyelesaikan kes yang disiasat agensi tersebut pada minggu lalu.

Mereka ialah Penolong Penguasa P29 yang bertugas di SPRM cawangan Kluang, Amir Izham Shahak, 32, dan Penguasa P42 yang berkhidmat di SPRM Johor Bahru, Wan Kamarul Za’im Wan Mansor, 34.

Amir mengaku bersalah manakala Wan Kamarul mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan  oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menipu seorang penguat kuasa berusia 35 tahun dengan meminta wang tunai RM40,000 kononnya untuk menyelesaikan kes yang disiasat SPRM Johor ke atas lelaki terbabit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di Jalan Benut, Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang, pada pukul 7.57 malam, 14 Oktober lalu. 

Bagi perbuatan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala Amir Izham diwakili peguam, Mohd. Salleh Togimin sementara Wan Kamarul Za’im pula diwakili Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias.

Hakim  membenarkan jaminan RM7,000 terhadap kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah selain memutuskan keputusan terhadap Amir Izham akan dilakukan pada 24 November ini, manakala sebutan semula kes tertuduh kedua juga pada hari sama.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya