fbpx

21 Oktober 2021, 1:46 pm

  TERKINI

Pas tak kacau kerusi UMNO di Perak 

RAZMAN ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Pas Perak yang menyatakan hasrat bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tidak akan mengganggu kerusi yang menangi  UMNO pada pilihan raya umum lalu.

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, Pas berpegang kepada status quo UMNO akan bertanding di semua kerusi dimenangi parti itu pada PRU-14.

Kata beliau, sebaliknya Pas hanya bertanding di enam DUN yang dimenangi Parti Amanah Negara (Negara) iaitu Titi Serong, Kamunting, Manjoi, Pasir Panjang, Sungai Rapat dan Behrang serta dua Parlimen iaitu Lumut dan Parit Buntar.

“Pendirian UMNO dia berpegang pada status quo, iaitu bertanding di tempat dia menang (PRU-14). Daripada 29 kerusi, sekarang tinggal 27 kerusi DUN adalah kawasan yang UMNO menang (PRU-14).

“Jadi 27 kerusi itu kita tak kacau sehingga ada perundingan-perundingan lain. Kita meraikan apa yang UMNO nak.

“Untuk itu, Pas fokus pada tiga kerusi sedia ada dan kerusi yang dimenangi Amanah. Kita harap perkara ini ada persetujuan daripada pihak UMNO, cuma perkara ini belum dirundingkan,” katanya selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat nelayan hilang di Jeti Pasukan Polis Marin Kuala Kurau dekat sini, hari ini.

Mengenai hasrat Pas bertanding di Parlimen Parit Buntar, Razman berkata, ia berasaskan kawasan itu adalah kubu Pas.

Beliau berkata, Pas menang kerusi Parlimen pertama di Parlimen Kerian Kecil sebelum dipecahkan kepada Parlimen Bagan Serai dan Parit Buntar pada pilihan raya umum tahun 1951.

Katanya, malah pada PRU-14, Pas hanya kalah 143 undi di Parlimen Bagan Serai.

“Pas memang fokus di sini (Parlimen Parit Buntar),  kalau boleh Pas nak minta runding mengenainya  sebab ini kubu Pas,” katanya.

Menurutnya, selain itu, apabila telah mengadakan kerjasama dalam PN dan Muafakat Nasional (MN), adalah tidak wajar Pas hanya mendapat bilangan kerusi yang sedikit.

“Kita ada ada 100,000 hingga 200,000 ahli di Perak, takkan kita hanya dapat beberapa kerusi  sedangkan orang di tempat UMNO mengundi nanti, penyokong  kita diarahkan untuk memberi undi kepada calon UMNO. Jadi ini tidak adil,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda Pas Perak menyatakan kesediaan dan komitmen untuk menawan enam kerusi DUN dan dan dua kerusi Parlimen dimenangi Amanah pada PRU-14.

Ketua Dewan Pemuda Pas Perak, Ahmad Faisal Mohd Puait yakin parti itu terutama calon daripada dewan tersebut mampu memenangi semua kerusi itu pada PRU-15 nanti. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI