PUTRAJAYA: Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) berharap kemelut yang melanda kerajaan Melaka pada ketika ini tidak perlu membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Timbalan Presidennya, Datuk Mohamed Ismail Ibrahim berkata, proses pengundian itu wajar ditunda dengan mengambil iktibar penularan teruk Covid-19 selepas PRN Sabah tahun lalu.

“Kami saran kerajaan pusat agar dapat capai satu kata putus dan selesaikan kemelut politik Melaka ke suatu masa yang akan datang,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Iman yang sebelum itu dikenali sebagai Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PBIM), telah ditubuhkan pada 2019 bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat India Muslim tempatan.
Bagaimanapun, pada September tahun lepas, PBIM meminda perlembagaan parti dengan menukar nama kepada Iman dan memiliki lebih 13,000 ahli seluruh negara kecuali Sarawak.
Mengulas lanjut, Mohamed Ismail menyifatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang akan membawa kepada PRN dalam tempoh 60 hari sebenarnya boleh dielak.
“Mungkin satu perjanjian politik dapat dimeterai malahan kami berharap agar kemelut itu tidak sampai kepada PRN kerana ini mungkin bawa satu lagi kluster baharu pandemik,” katanya.
Langkah itu boleh dicontohi kes Sarawak yang tamat tempoh DUN ke-18 secara automatik pada 6 Jun lalu, namun PRN negeri tersebut dapat ditangguhkan sehingga 2 Februari 2022.
Apatah lagi ujar beliau, negara masih dalam proses pemulihan semula ekonomi walaupun kadar vaksinasi nasional dilaporkan hampir mencapai 90 peratus daripada jumlah populasinya. -UTUSAN ONLINE