[PARLIMEN] Usul bahaskan Pandora Papers ditolak Speaker - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Usul bahaskan Pandora Papers ditolak Speaker

AZHAR AZIZAN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usul pembangkang membahaskan laporan Pandora Papers di Dewan Rakyat ditolak Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Laporan itu membabitkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah menyembunyikan wang dan pelaburan mereka.

Jelas Azhar Azizan, usul tersebut boleh dirujuk dalam prosedur lain termasuk dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Saya setuju ia perkara tertentu. Ia adalah mengenai kepentingan awam dan saya setuju, ia perkara penting dan perlu disiasat. Tapi masalahnya ialah ia tidak perlu disegerakan kerana mesyuarat kita didahulukan dengan aturan urusan mesyuarat. Maknanya jika aturan urusan mesyuarat hendak diketepikan, maka sesuatu perlu disegerakan, (usul ini) walaupun ia penting tak semestinya ia perlu disegerakan.

“Dalam Jawatankuasa Pilihan Khas lebih panjang masanya berbanding di sini. Saya rasa jawatankuasa lebih efektik dan berkesan. Banyak lagi perkara penting. Kita ada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Saya sudah buat keputusan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul mengenai Pandora Papers di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Susulan penolakan yang dibuat Azhar Azizan, Ketua Pembangkang tersebut mempersoal tindakan tersebut dengan menjelaskan ia perkara penting untuk dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

Laporan media sebelum ini menyebut kandungan Pandora Papers mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang dan pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain, sepanjang 25 tahun lepas.

Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma di serata dunia. Menurut pendedahan itu, dua individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari negara ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN