KBS enggan masuk campur urusan FAM

KBS enggan masuk campur urusan FAM

Dr. Mohammed Taufiq Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertegas untuk tidak mencampuri urusan dalaman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), termasuk berkaitan gesaan agar laporan audit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) terhadap badan induk bola sepak negara itu didedahkan kepada umum serta dibentangkan di Parlimen.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, kementeriannya sentiasa terbuka terhadap sebarang usaha yang dapat meningkatkan ketelusan, khususnya melibatkan pengurusan dana dan tadbir urus sesebuah organisasi sukan.

Menurut Taufik, sebarang perkara yang didapati melangkaui batas perundangan dan boleh dikenakan tindakan sewajarnya perlu dilaksanakan mengikut saluran yang betul.

“Jadi kita sentiasa terbuka untuk sebarang proses ketelusan, itu yang paling penting sekali. Bukan sahaja audit dalaman, tetapi juga yang paling penting bagaimana rakyat nak tahu berkenaan dengan pengurusan dana dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Wanita Dalam Sukan 2026 di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam. Turut hadir, Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dilaporkan mahu laporan penuh audit AFC terhadap FAM didedahkan kepada umum dan dibentangkan di Parlimen bagi membolehkan isu tadbir urus badan induk bola sepak negara itu dibahaskan secara menyeluruh.

Mengulas lanjut, Dr. Mohammed Taufiq berkata, KBS tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku yang membabitkan dana awam yang mengaitkan dengan FAM.

“Jika ada kesilapan dan juga salah laku, kita serahkan kepada pihak yang berpatutan. Tidak ada kompromi berkenaan perkara itu, khususnya apa-apa yang melibatkan dana awam dan wang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN