KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) (Pindaan 2021) diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun meluluskan usul tersebut menerusi undi suara selepas mendapati lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju selepas bacaan kali ketiga.
RUU itu dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan dibahaskan beberapa ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang.
Kelulusan itu membolehkan kerajaan untuk mengekalkan penggunaan dana KWAN bagi maksud pemerolehan vaksin, dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi suatu wabak apa-apa penyakit berjangkit sebagaimana yang dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.
Ini kerana, Tengku Zafrul menjelaskan, buat masa ini, Seksyen 6 Akta 339 hanya membenarkan dana KWAN dibelanjakan untuk maksud Kumpulan Wang Pembangunan, serta memberi pinjaman ataupun pendahuluan mengikut terma konsesi kepada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.
Katanya, selepas kerajaan meluluskan cadangan Kementerian Kewangan melalui Ordinan Darurat KWAN (Pindaan) 2021 untuk Seksyen 6 Akta 339, penggunaan ordinan tersebut adalah terhad kerana ia akan terhenti berkuat kuasa apabila habis tempoh enam bulan selepas Proklamasi Darurat ditamatkan.
“Ini adalah selaras dengan Fasal 7, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Justeru, kerajaan melalui RUU KWAN (Pindaan) 2021 berhasrat untuk mengekalkan penggunaan dana KWAN bagi pemerolehan vaksin, dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi suatu wabak apa-apa penyakit berjangkit sebagaimana yang dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342,” katanya.
Tambahnya, dengan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan yang terhad, suatu langkah alternatif yang dapat menampung perbelanjaan tambahan untuk keluar dari pada kemelut pandemik Covid-19 perlulah diambil.
“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, pilihan pembiayaan yang paling optimal telah dipilih dalam mengimbangi kepentingan sekarang dan masa depan dengan kos melepas, atau dengan izin, opportunity cost yang berkaitan.
“Oleh itu, penggunaan dana KWAN sebagai salah satu sumber kewangan adalah wajar memandangkan dana tersebut mempunyai kecairan tunai serta dapat memenuhi keperluan vaksin yang mendesak. Malah, penggunaan dana KWAN tidak meningkatkan had statutori hutang kerajaan yang hampir mencecah had yang dibenarkan,” katanya.
Dari segi kemampanan dana untuk jangka masa panjang, Tengku Zafrul memberi jaminan bahawa kerajaan akan berusaha untuk meningkatkan semula saiz dana KWAN apabila ekonomi telah kembali stabil.
“Ini termasuklah meningkatkan bilangan penyumbang dengan menggalakkan sumbangan dari syarikat atau pihak berkuasa yang lain, termasuklah syarikat yang terlibat dengan pengeksploitasian petroleum atau sumber menyusut lain seperti yang termaktub dalam Seksyen 5, Akta 339.
“Usaha penambahan semula dana KWAN perlu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak yang berkaitan. Komitmen daripada kerajaan persekutuan dan negeri untuk turut mengambil bahagian dalam inisiatif bagi meningkatkan dana KWAN amatlah penting, di samping memperkukuhkan tadbir urus untuk memastikan dana KWAN dapat melaksanakan peranannya,” katanya.
Oleh itu, beliau berpendapat, penggunaan dana KWAN melalui peruntukan RUU KWAN (Pindaan) 2021 adalah penting kerana ia dapat mempergiatkan usaha kerajaan dalam melindungi kesejahteraan rakyat dan mempercepatkan proses pemulihan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
“Semoga kesiapsiagaan kerajaan dalam mempercepatkan proses pemerolehan vaksin ini dapat membantu negara membuka semula ekonomi dengan lebih selamat agar rakyat dapat menjalani kehidupan norma baharu dengan lebih bersedia,” katanya. -UTUSAN ONLINE










