KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus mengambil langkah mengetengahkan isu pelarian etnik Rohingya menerusi perbincangan di peringkat serantau dan antarabangsa bagi memastikan isu pengusiran dan penindasan terhadap etnik itu dihentikan.
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, hal itu walaupun ia terletak di bawah pengurusan pemerintah dan kerajaan Myanmar, namun Malaysia dan negara lain berpendirian penghentikan tersebut mesti diselesaikan.
“Jumlah etnik Rohingya di Malaysia terdapat 200,000 orang iaitu jumlah terbesar di Asia Tenggara, pada masa sama, pengusiran sesuatu populasi secara paksa adalah tersenarai sebagai jenayah kemanusiaan.
“Ini adalah seperti di dalam undang-undang antarabangsa khsusnya statut Rom berkenaan mahkakamah jenayah antarabangsa dan konvensyen mengenai pencegahan dan hukuman ke atas genosid.
“Selain itu, Malaysia juga menyokong kuat usaha-usaha ASEAN dalam memudah cara proses repatriasi pelarian Rohingya untuk kembali ke Myanmar dan Malaysia juga melihat kebertanggungjawaban atau akauntabiliti ke atas pengusiran etnik Rohingya ini dapat dicapai melalui Mahkamah Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Wong Chen (Subang-PKR) mengenai kedudukan kerajaan berhubung rancangan menghentikan pengusiran pelarian Rohingya dan tindakan politik serta kemanusiaan sehala diambil ke atas rampasan kuasa di myanmar di luar konteks ASEAN.
Mengulas lanjut, kata Saifuddin, pada April lalu, pemimpin-pemimpin negara rantau itu telah membincangkan isu tersebut bersama wakil tentera Myanmar dan telah mencapai keputusan melantik Menteri Luar Kedua dari Brunei sebagai utusan khas pengerusi ASEAN untuk Myanmar.
Selain itu, beliau berkata, mereka yang terlibat juga bersetuju mengenai konsensus lima perkara bagi menyelesaikan isu terkini di Myanmar semasa mesyuarat khas pemimpin blok serantau di Jakarta, April lalu.
“Malaysia bekerjasama dengan negara-negara ASEAN lain dan tidak akan bergerak secara sendiri. Hal ini mengambil kira ASEAN mempunyai pengaruh lebih besar ke atas Myanmar untuk mengubah haluannya dan kembali kepada landasan demokrasi,” katanya.- UTUSAN ONLINE










