PETALING JAYA: Datuk Seri Johari Abdul Ghani secara rasmi memulakan hari pertama tugasnya sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri di Menara MITI, hari ini.
Beliau tiba pada pukul 10.08 pagi dan disambut oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Hairil Yahri Yaacob, sebelum mengimbas kehadiran menggunakan mesin perakam waktu.
Johari kemudiannya berinteraksi serta beramah mesra bersama pegawai dan warga kerja kementerian berkenaan.
Sebelum ini, Johari memegang portfolio sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi sejak Disember 2023.
Pelantikan beliau sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri diumumkan semalam susulan rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang baharu.
Sebelum ini, jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri disandang Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, manakala Timbalan Menteri sebelum ini, Liew Chin Tong, kini memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Kewangan. – UTUSAN










