[PARLIMEN] Lebih 10,000 kes orang hilang sejak 2017 - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Lebih 10,000 kes orang hilang sejak 2017

ISMAIL MOHAMED SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 kes orang hilang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2017 sehingga 31 Ogos 2021.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, daripada jumlah tersebut, kes orang hilang berumur 18 tahun
dan ke atas adalah berjumlah 6,074 orang.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 4,871 orang telah dijumpai semula dan baki 1,203 orang masih hilang, manakala bagi kes kanak-kanak hilang iaitu 18 tahun ke bawah dari tahun 2017 sehingga 1 September 2021 adalah berjumlah 4,471 orang.

“Dari jumlah tersebut, seramai 4,399 kanak-kanak telah dijumpai semula dan baki 72 orang masih hilang,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, terdapat beberapa sebab seseorang itu hilang antaranya berdepan masalah keluarga seperti kurang dapat perhatian keluarga, selisih faham atau dilarikan ibu atau bapa.

“Kedua, keluar rumah ikut rakan sebaya atau ikut kekasih mencari kebebasan. Ada juga yang menghadapi masalah kemurungan sehingga menghilangkan diri, ada yang hilang disebabkan nyanyuk atau masalah mental atau tidak siuman serta berdepan masalah jenayah seperti terlibat dengan rogol atau cabul.

“Ada juga yang mencari pekerjaan atau selisih faham dengan keluarga sehingga menghilangkan diri, lari daripada pengutip hutang, penderaan fizikal atau mental oleh keluarga atau penjaga,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Wira Koh Nai Kwong mengenai statistik bilangan kes kehilangan orang dan kanak-kanak yang dilaporkan di Malaysia dalam tempoh lima tahun sebelum ini termasuklah bilangan orang telah ditemui dan masih belum ditemui serta apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah ini.

Beliau berkata, antara langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah ini adalah dengan mewujudkan Portal Kanak-kanak Hilang.

Katanya, maklumat orang hilang dipaparkan menerusi portal https://knk2hilang.rmp.gov.my yang boleh diakses oleh orang awam. Portal ini memberi peluang kepada masyarakat untuk bekerjasama mengesan kanak-kanak yang hilang dengan lebih cepat dan berkesan dengan menyalurkan maklumat yang terkini melalui Internet.

“Portal ini sangat berguna apabila daripada 5,263 kanak-kanak yang hilang, kita dah jumpa 5,171 orang, maknanya baki hanya 91 orang yang masih hilang, jelas menunjukkan bahawa portal ini dengan kerjasama masyarakat adalah sangat berkesan, jadi kerajaan menggalakkan dan menyeru masyarakat supaya bersama PDRM bagi memastikan kadar atau jumlah kehilangan orang dapat disifarkan,” katanya.

Di samping itu, katanya, PDRM juga menjalinkan kerjasama dengan 40 agensi lain melalui NUR Alert iaitu sistem amaran awal bagi kes kehilangan kanak-kanak untuk membantu agensi penguatkuasa undang-undang dalam menjalankan siasatan dan membawa kepada tangkapan yang pantas.

“PDRM dan Facebook Malaysia yang merupakan ahli pasukan petugas dalam NUR Alert turut bekerjasama dengan menyiarkan hebahan di laman Facebook untuk mengesan kanak-kanak yang hilang dengan lebih cepat.

“PDRM juga turut mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam penganjuran program-program kesedaran untuk mengelakkan kes ini daripada berulang.

“Kempen Kesedaran Kanak-Kanak (CAC) bertujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa kanak-kanak mudah terdedah menjadi mangsa dan adalah penting untuk memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya.

Malah katanya, PDRM juga sering melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan perumahan, kedai, sekolah dan lain-lain.

“Kementerian juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat terkini berkaitan orang
hilang. Peranan ibu bapa juga penting untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan termasuklah dengan memantau aktiviti-aktiviti anak-anak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya