Khairy ulang tiada kematian disebabkan vaksin Covid-19.
KUALA LUMPUR: Tiada kematian yang dicatatkan berpunca daripada vaksin Covid-19.
Menjelaskan perkara tersebut, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, segala data mengenai perkara itu akan dimuatnaik laman sesawang Kementerian Kesihatan.
Tambah beliau, orang ramai boleh mengakses data tersebut dengan mendapatkan maklumat lebih tepat mengenai keberkesanan dan kesihatan vaksin Covid-19.
“Hari ini kita akan memuat naik dalam laman sesawang berkenaan kesan sampingan vaksin Covid-19 supaya rakyat lihat kesan sampingan serius tidak banyak dan setakat ini tiada kematian disebab vaksin Covid-19,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, langkah itu juga bagi memupuk keyakinan dalam kalangan individu tegar yang menolak vaksin Covid-19, sekaligus memberi maklumat tepat dan terperinci mengenai pelalian itu.
“Saya harap akan lebih ramai lagi yang masih tegar untuk tak mahu terima vaksin akan tampil mendapatkan maklumat terperinci (mengenai vaksin Covid-19).
“Kita sentiasa bersedia untuk memberi maklumat kepada sesiapa pun berkenaan keberkesanan dan kesihatan vaksin Covid-19,” katanya lagi.
Terdahulu, Isnarissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) meminta kerajaan menjelaskan tentang dakwaan ramai pihak yang menjelaskan mengenai kebimbangan tentang vaksin Covid-19.- UTUSAN ONLINE










