KUALA LUMPUR: Ruang perlu diberi kepada kerajaan dalam melaksanakan transformasi yang dijanjikan dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dalam hal ini komitmen daripada semua pihak termasuk pembangkang adalah diperlukan supaya hasrat murni demi kepentingan rakyat dapat dicapai.
“Sudah pasti kita perlu telus dan terus terang. Kalau ada kemajuan, iya, dan kalau kurang kemajuan, kita harus nyatakan demikian, ini penting dan sudah pasti Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang dan ahli Dewan Rakyat faham dengan keadaan semasa. Termasuklah Reformasi Parlimen umpamanya, tindakan harus diambil bagi mencapai hasrat murni agar perjanjian 13 September dapat dicapai.
“Tapi kita harus sedar, kita baru sahaja dan kita perlu bagi masa,” katanya ketika menjawab permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini yang mahu penjelasan kerajaan berhubung janji yang sudah dilaksanakan dalam MoU tersebut.
Terdahulu, Anwar meminta kerajaan menjelaskan apakah janji yang sudah dilaksanakan kerajaan kerana sudah hampir sebulan MoU termeterai, namun pembangkang tidak perpuas hati dengan kemajuan kerajaan yang disifatkan lembap dan sengaja dilengahkan. -UTUSAN ONLINE










