Operasi sebuah PKRC di Kedah ditutup hari ini - Utusan Malaysia

Operasi sebuah PKRC di Kedah ditutup hari ini

OPERASI PKRC di Dewan Al-Farabi, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kedah di Alor Setar, Kedah, ditutup mulai hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) yang beroperasi di Dewan Al-Farabi, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kedah di sini sejak lebih empat bulan lalu, ditutup mulai hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, PKRC yang beroperasi lebih empat bulan lalu ditutup selepas jumlah pesakit Covid-19 di negeri ini semakin berkurangan.

Menurutnya, penutupan PKRC itu turut  menjimatkan penggunaan tenaga kerja yang boleh ditumpukan kepada tugasan lain dalam sektor kesihatan di negeri ini.

“Sekarang ini kita masih ada dua PKRC iaitu di Dewan Wawasan Jitra dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) Kulim. 

“Penutupan PKRC ini boleh dianggap sebagai satu kejayaan, seiring dengan kurangnya kes di Kedah kebelakangan ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

PKRC Dewan Al-Farabi mula beroperasi dan menerima pesakit pertama pada 8 Jun lalu serta mempunyai kapasiti 40 katil terdiri daripada 24 katil untuk lelaki dan 16 perempuan.

Sepanjang tempoh itu, PKRC tersebut telah merawat seramai 797 pesakit Covid-19 dengan kebanyakannya berada di tahap tiga dan empat.

Mohd. Hayati menambah, selepas ini pesakit tiga dan empat akan dihantar ke PKRC Dewan Wawasan di Jitra yang turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk mesin oksigen mencukupi.

“Selain itu, pesakit yang tidak mengalami gejala teruk dan hanya perlu menjalani perintah pengawasan di rumah (HSO) sekiranya dijangkiti Covid-19,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk tidak lagi melaksanakan ujian pengesanan Covid-19 buat pelancong ke Langkawi, Mohd. Hayati berkata, ujian dijalankan selama ini mendapati jumlah pelancong yang positif Covid-19 dan ingin membuat perjalanan ke pulau peranginan itu terlalu rendah.

“Kes di Langkawi kebanyakannya melibatkan jangkitan dalaman di pulau itu dan bukannya disebabkan orang luar. Jumlah yang positif ketika hendak memulakan perjalanan ke Langkawi pun terlalu sedikit.

“Kos tersebut selama ini perlu ditampung pelancong dan apabila dimansuhkan, mungkin akan lebih ramai pelancong yang datang ke sana nanti. 

“Namun kita tetap menasihatkan semua pihak sama ada pengunjung atau penduduk asal Langkawi supaya mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN