IPOH: Akhbar Utusan Malaysia mencatat kejayaan membanggakan apabila merangkul empat anugerah pada Malam Media Perak Sejahtera 2025 di sini malam kelmarin.
Kejayaan itu bertambah manis apabila dua wartawan Utusan Malaysia termasuk daripada Kosmo! bersama seorang jurugambar meraih tiga tempat teratas daripada sembilan kategori yang dipertandingkan.
Wartawan Utusan Malaysia, Fadzil Zainol memenangi tempat pertama bagi kategori Anugerah Berita Digital Perak Sejahtera 2030 Terbaik (Bahasa Melayu) menerusi laporan bertajuk Peradaban manusia purba di Lenggong.
Sementara itu, bagi kategori Anugerah Berita Perak Sejahtera 2030 Terbaik (Media Cetak: Bahasa Melayu) pula menyaksikan wartawan Kosmo!, Megat Abdullah Lutfi Megat Abdul Rahim muncul juara melalui artikel bertajuk Bantuan kerajaan negeri ubah hidup Azizah.
Kejayaan itu turut disusuli pencapaian cemerlang jurugambar, Muhamad Nazreen Shah Musthafa yang memenangi tempat pertama bagi Anugerah Foto Esei Perak Sejahtera 2030 Terbaik menerusi Emas hitam terbaik dunia.
Kemenangan itu membolehkan ketiga-tiga petugas media berkenaan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500 setiap seorang.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia turut mencatatkan kejayaan apabila wartawannya, Asliza Musa meraih tempat kedua bagi kategori Anugerah Berita Perak Sejahtera 2030 Terbaik (Media Cetak: Bahasa Melayu) dengan laporan bertajuk Legasi 100 Tahun Afiat sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000.
Kesemua hadiah itu disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Saarani dalam ucapannya berkata, dalam dunia yang sarat dengan maklumat separuh benar, sensasi dan manipulasi emosi, peranan media yang bertanggungjawab menjadi semakin penting.
“Saya yakin, apabila kerajaan dan media bergerak seiring dengan peranan yang jelas dan saling menghormati, rakyat akan mendapat maklumat yang lebih matang, seimbang dan bermanfaat.
“Dan selagi saya diberi amanah memimpin negeri ini, hubungan ini akan terus saya jaga, saya hargai dan saya suburkan kerana saya percaya, media yang kuat dan bertanggungjawab adalah rakan kepada kerajaan yang ikhlas mencurahkan sebaik-baik khidmat kepada rakyat,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan pemberian insentif khas sekali bayar (one-off) sebanyak RM500 kepada pengamal media tempatan sebagai tanda penghargaan kepada mereka.-UTUSAN.










