LUMUT: Pantai Teluk Batik di sini kembali dibuka sepenuhnya kepada orang ramai selepas kerja-kerja baik pulih kawasan pantai yang dilaksanakan susulan kejadian hakisan ombak hujung bulan lalu kini sudah siap sepenuhnya.
Peniaga makanan, Syuaibattul Rabiatul Addawiyah Jaafar Sidek, 29, gembira kerana pengunjung sudah kembali ke pantai itu selepas kurang pengunjung berikutan kehadiran buaya di pantai berkenaan beberapa bulan lalu.
Katanya, kerosakan teruk pada sebahagian besar pantai di Teluk Batik akibat ombak besar pada bulan lalu sekali lagi menjejaskan kehadiran pengunjung.
“Kini aktiviti perniagaan di pantai seperti sewaan pelampung, perniagaan di gerai-gerai makanan, gerai menjual pakaian, kedai serbaneka berjalan seperti biasa di pantai ini.
“Ini membolehkan kami peniaga di pantai ini terus mencari rezeki di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang peniaga pelampung, Nurul Asyikin Jaafar Sidek, 41, berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Manjung (MPM) kerana segera memperbaiki kerosakan teruk pada pantai Teluk Batik akibat ombak besar yang menyebabkan pantai rebak.
Katanya, pantai Teluk Batik adalah tempat dia dan peniaga lain mencari rezeki dan bencana alam yang berlaku menjejaskan pendapatan mereka.
“Pantai sudah dibersihkan, pokok yang tumbang dan dahannya sudah dibuang dan pasir di pantai ini diratakan, pemandangannya sangat cantik dan kedai-kedai sudah buka,” katanya.
Peniaga kedai makan, Hamidon Mohd. Hamzah, 55, berkata, ketika kejadian pantai terhakis akibat ombak besar, tidak ada pengunjung yang datang kerana pantai itu diarah tutup oleh MPM kerana pantai terhakis teruk.
“Keadaan kini sudah pulih, kerosakkan pantai sudah dibersihkan dan kami tidak merasa takut lagi keadaan laut tidak lagi bergelora,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MPM, Muhammad Faizal Shah Safian berkata, Pantai Teluk Batik telah dibuka sepenuhnya kepada orang ramai setelah kawasan yang terjejas ombak besar disahkan stabil dan selamat untuk dikunjungi.-UTUSAN.










