Nusantara dulu, Nusantara kini - Utusan Malaysia

Nusantara dulu, Nusantara kini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSOALAN berkenaan konsep Nusantara dalam muzik agak hangat dibincangkan tidak lama dahulu. Kebangkitan pemuzik-pemuzik baharu yang memasukkan elemen muzik tradisional leluhur Nusantara dalam karya mereka membangkitkan semula perbincangan ini.

Kehangatan itu mendorong PORT Ipoh bersama Gerakan Seni Ipoh, Blackhouse dan kerajaan negeri Perak untuk mengangkat Muzik Nusantara sebagai tema Simposium Muzik Ipoh (IMS) tahun ini. Walaupun terpaksa menjalankan acara sepenuhnya secara dalam talian, saiz simposium ini semakin besar apabila melibatkan lima sesi pembentangan makalah, 23 pembentang, tiga sesi bengkel muzik, dua forum, dua ucaptama, tiga sesi perbincangan buku dan satu konsert.

Saiznya besar dan jangkauannya juga lebih jauh kerana dijalankan secara dalam talian. Namun, persoalan yang lebih penting untuk kita bincangkan, apa yang kita dapat dari simposium ini secara keseluruhannya?

Cerita lama

Saya agak kecewa apabila dalam ucaptamanya, terpacul dari mulut Datuk M. Nasir: “momentum muzik Nusantara telah berlalu”. Secara keseluruhan konteks ucaptamanya, saya lihat M. Nasir cuba untuk berhujah bahawa zaman gemilang muzik Nusantara adalah pada lewat 80-an sehingga awal 2000-an dan kegemilangannya belum timbul semula sehingga kini.

Saya memilih untuk berbeza pendapat. Dari sudut muzik popular, jika kita letakkan Anugerah Juara Lagu (AJL) sebagai penanda aras, terdapat lima lagu dalam peringkat akhir AJL35 mempunyai elemen Nusantara, termasuk juaranya, Gila.

Elemen Nusantara juga semakin laku dalam genre terkini, seperti apa yang dilakukan Bunga Isme, Kmy Kmo dan Luca Sickta dalam genre hip hop atau Iqbal M, Sekumpulan Orang Gila dan Floor 88 dalam genre rock.

Belum dikira penerbitan album Lagu Perang oleh Monoloque yang menggunakan instrumen gamelan sebagai asas. Begitu juga album Belagu oleh Dayang Nurfaizah yang melakurkan muzik tradisional Melayu dengan R&B.

Kurungan nostalgia

Saya menghargai nostalgia kerana sedar ada banyak perkara yang boleh dipelajari daripada sejarah. Saya cuma bermasalah dengan cara kita memandang nostalgia. Kita cenderung memandang ke belakang dan tidak lagi menoleh ke depan. Kita memanjakan diri dengan kegemilangan masa silam dan terkurung dalam nostalgia.

Sedangkan sepatutnya, kita menapis hal baik buruk masa lampau dan gunakan pengajarannya untuk membentuk masa depan yang lebih baik. Dalam konteks IMS, acara di luar pembentangan makalah kurang menekankan analisis situasi muzik terkini.

Memahami Nusantara

Nasib baik, IMS bijak mempelbagaikan kandungan dalam pembentangan makalah. Saya fikir ia seimbang dari pelbagai sudut. Suara anak muda dan analisis muzik terkini dapat kita lihat pada makalah Faza Iskandar dan Zhafirin Zulkifli. Ada pengiktirafan kepada muzik kaum minoriti dalam pembentangan Dr. Nadia Widyawati Madzhi dan Shah Herry Bah Uda.

Keseluruhan sesi pembentangan makalah mengajar kita untuk lebih memahami kerencaman muzik Nusantara. Ia tidak disuap terus oleh para pembentang. Mereka membuka ruang perbincangan dan kita sendiri boleh merenung kerencaman itu.

Secara keseluruhannya, IMS tahun ini membantu kita untuk memahami muzik Nusantara. Antara persoalan penting yang perlu diberi perhatian adalah pada asas takrifnya dan peranan penguasa (negara, politik, kebanggaan identiti dan media) dalam membentuk kefahaman kita terhadap konsep muzik ini.

Saya tutup artikel ini dengan perkara yang saya kesalkan apabila kita berbicara tentang muzik Nusantara. Semoga kita boleh lanjutkan perbincangan dan merenung perkara ini bersama selepas ini.

Ia tentang dominasi Melayu. Sering kali, kita menganggap elemen Nusantara itu hanya yang berkaitan dengan bangsa Melayu dan mengetepikan elemen-elemen etnik minoriti yang turut mendiami wilayah sama.

Kita angkat muzik bawaan Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris setinggi mungkin tetapi menutup mata kepada usaha pelestarian khazanah muzik Borneo oleh pemuzik seperti Alena Murang. Saya tegaskan, khazanah muzik Borneo dan Orang Asli itu juga sebahagian daripada elemen Nusantara yang patut kita banggakan.

Keaslian dan keindahan muzik etnik-etnik minoriti yang mendiami bumi Nusantara ini perlu dikaji, dilestari dan dituai. Ia akan menambah kekayaan khazanah muzik dan memantapkan lagi identiti muzik kita. Jika kita masih memandang sepi segmen muzik ini, maka rugilah seluruh industri muzik negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya